SHAH ALAM: Selangor bakal memiliki infrastruktur digital dengan pembangunan rangkaian gentian optik sepanjang kira-kira 889 kilometer (km), merangkumi seluruh negeri tersebut menjelang tahun 2029.
Projek Fiberisasi-Cyberjaya diterajui syarikat digital milik kerajaan negeri, SmartSel Sdn. Bhd. itu dengan kerjasama rakan strategik, OCK Group Berhad, bakal dijalankan awal tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, fasa pertama di Cyberjaya sudah bermula apabila 4km siap dibina dan kawasan seperti Shah Alam antara yang dikenal pasti sebagai fasa seterusnya dengan anggaran jajaran sepanjang 178km.
Katanya, RM500 hingga RM800 juta diperuntukan bagi keseluruhan pembangunan rangkaian gentian optik negeri itu bergantung kepada model pelaksanaan dan bentuk kerjasama strategik yang dimuktamadkan.
“Projek di Cyberjaya membabitkan pembangunan rangkaian gentian optik bawah tanah sepanjang 41.1km sebagai langkah awal pembentukan Selangor Dark Fiber Network, rangkaian gentian optik milik negeri yang bersifat terbuka dan neutral.
“Pelaksanaan projek akan dilakukan secara berperingkat, dengan kawasan seperti Shah Alam dikenal pasti sebagai antara fasa seterusnya, manakala fasa pertama di Cyberjaya sudah bermula dengan 4km siap dibina.
“Fasa pertama projek sepanjang 41.1km dijangka siap dalam tempoh 6 bulan, manakala keseluruhan rangkaian negeri sepanjang 889km dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, bergantung kepada kelancaran pelaksanaan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Fiberisasi-Cyberjaya dan Business Alliance Framework Signing, hari ini.
Sementara itu, katanya, lima bidang utama akan diteroka termasuk pembangunan infrastruktur telekomunikasi, liputan 5G dalam bangunan, operasi rangkaian dan perkhidmatan terurus, platform digital dan integrasi tenaga boleh diperbaharui serta teknologi hijau. – UTUSAN










