Kompaun SSM cecah RM40,000 bebankan PKS

Kompaun SSM cecah RM40,000 bebankan PKS

TINDAKAN Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenakan kompaun yang tinggi bukan sahaja memberi kesan kepada operasi syarikat tetapi juga akan mengakibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) gulung tikar kerana tidak mampu membayar kompaun setinggi RM40,000. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memandang serius tindakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mengenakan kompaun sehingga mencecah RM40,000 kepada pemilik syarikat yang didapati melanggar seksyen 245, 248, 258 dan 340 dibawah Akta Syarikat 2016. 

Tindakan ini amat membebankan, terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang pada ketika ini sudah berhadapan dengan pelbagai cabaran perniagaan.

Pada penghujung 2024, SSM memberikan pengecualian audit kepada syarikat kecil di Malaysia iaitu PKS yang memenuhi syarat tertentu seperti hasil tahunan bawah RM3 juta atau kurang 30 pekerja, bertujuan mengurangkan kos dan memudahkan urusan. Syarikat yang layak masih perlu hantar penyata kewangan tidak diaudit, manakala PKS dengan hasil kurang RM1 juta dikecualikan sepenuhnya audit mulai 2025. 

Kriteria baharu ini dijangka memberi manfaat kepada PKS, mengurangkan kos pematuhan serta memastikan kecekapan dan ketelusan amalan tadbir urus korporat terus berada pada tahap terbaik. 

Namun begitu baru-baru ini, DPMM dihujani pelbagai rungutan dan aduan mengenai langkah terbaharu SSM mengenakan kompaun kepada syarikat yang tidak mematuhi Seksyen 245, 248, 258, dan 340 di bawah Akta Syarikat 2016.

DPMM merasakan langkah terbaharu yang diambil SSM tidak selari dengan tindakan agensi berkenaan dalam mengurangkan kos pematuhan audit syarikat kepada syarikat PMKS dengan hasil kurang RM1 juta dikecualikan sepenuhnya audit mulai 2025. 

DPMM menegaskan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah sekitar 38.3 peratus. Ini menunjukkan PKS memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga kestabilan ekonomi negara malah PKS  juga menjadi majikan kepada hampir 66 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia. 

Dengan demikian, tindakan mengenakan kompaun yang tinggi bukan sahaja akan memberi kesan kepada operasi syarikat tetapi juga akan mengakibatkan syarikat PKS gulung tikar kerana tidak mampu membayar kompaun setinggi RM40,000 dan boleh meningkatkan kadar pengangguran yang lebih tinggi. Ini tentunya sesuatu yang tidak diingini dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Oleh itu, saya memohon agar pihak SSM mempertimbangkan semula kadar kompaun yang dikenakan. 

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, kebijaksanaan dalam menangani isu-isu seperti ini adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan operasi PKS dan kesejahteraan ekonomi negara.-UTUSAN

 

NORSYAHRIN HAMIDON

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×