Kumpul nota kuliah hasilkan buku tentang komposit

Kumpul nota kuliah hasilkan buku tentang komposit

KHAIRULNISAN Azmi bersama buku yang ditulisnya bertajuk Pembuatan Produk Komposit Berasaskan Matriks Polimer.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA 14 tahun dari 2005 hingga 2019, Khairulnisan Azmil terlibat sebagai Pegawai Pengesah Luaran (PPL) dan Pegawai Penilai (PP) bagi Skim Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

Beliau bertanggungjawab menentusahkan keterampilan kemahiran para pelatih tahun akhir bagi mendapatkan sijil kemahiran di institut latihan perindustrian (ILP), institut kemahiran bina negara (IKBN), institut kemahiran Mara (IKM) dan Giat Mara termasuk individu yang ditaja oleh majikan masing-masing dalam Skim Pencapaian Pentauliahan Terdahulu (PPT) dan Skim Latihan Dwi Nasional (SLDN).

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau mendapati tahap kerja amali para pelatih terbabit begitu baik sekali. Cumanya untuk mencapai tahap penguasaan dalam aspek pentadbiran pekerjaan masih agak mencabar.

“Budak-budak kita kerja hands-on (praktikal) memang beautiful (cekap), memang class (berkualiti). Tapi bila orang atas tanya lebih lanjut pasal kerja yang ada kaitan dengan kemahiran masing-masing, mereka susah nak beri penjelasan.

“Kenapa? Sebab pemahaman mereka terhadap apa yang dipelajari tidak begitu mendalam.

“Kalau nak buat kerja, kena ada juga sikit teori amali – apa jenis bahan, kapasiti bahan, proses, macam mana nak mula, apa nak pilih. Nak harapkan belajar daripada pengalaman tanpa rujukan yang baik, boleh menyebabkan proses pembelajaran menjadi lebih lama.

Ini meningkatkan risiko pelaksanaan kerja yang tidak konsisten dan akhirnya minat pun berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, punca kepada kelemahan itu adalah disebabkan kesukaran para pelatih di institusi kemahiran untuk memperoleh bahan rujukan. Buku teks dan buku rujukan teknikal yang ada di pasaran kebanyakannya dalam bahasa Inggeris yang sukar difahami para pelajar terbabit, majoritinya orang Melayu.

Kebanyakan mereka hanya bergantung kepada nota-nota diperoleh di dalam kelas yang dikumpul, disusun dan dibuat salinan secara fotostat. Tidak banyak buku teks atau buku rujukan digunakan.

“Maknanya, apa yang diajar maka itulah yang mereka praktik. Kalau (pengajar) tertinggal, maknanya tertinggallah (ilmu),” jelasnya.

Daripada nota-nota kuliah yang dihadiri di dalam dan di luar negara serta pengalaman kerja, Khairulnisan mengumpul dan menyusun seterusnya dijadikan antara bahan kandungan dalam buku yang dihasilkannya bertajuk Pembuatan Produk Komposit Berasaskan Matriks Polimer.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini memberi pengenalan tentang asas pembuatan produk komposit berasaskan matriks polimer bertetulangkan gentian.

Kandungan buku ini disusun secara rapi supaya pembaca mudah mencari, memahami dan menghayati maklumat yang diperlukan. Aspek perbincangan merangkumi proses pembuatan produk komposit secara menyeluruh seperti diamalkan pada masa kini.

Setiap bab membincangkan pengetahuan teori dan amali yang secukupnya dan setiap topik dibincangkan disusun secara teratur. Memandangkan kandungannya bersifat pengenalan dan asas, maka penerangan terperinci tentang sesuatu tajuk tidak dimuatkan.

Bagaimanapun, bagi memudahkan pemahaman, lebih 190 ilustrasi dimuatkan bagi menyokong perbincangan dalam teks. Kandungan asas berserta ilustrasi sebenar yang disusun secara sistematik menjadikan maklumat disampaikan lebih mudah difahami.

Buku Pembuatan Produk Komposit Berasaskan Matriks Polimer boleh dijadikan sebagai sumber maklumat dan rujukan kepada pembaca bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk membangunkan dan membuat kerja-kerja ketukangan serta sebarang khidmat kejuruteraan dengan lebih cekap dan selamat.

Kandungannya disusun untuk kegunaan pelajar yang mengambil kursus di peringkat ijazah pertama, diploma dan sijil di institusi pengajian tinggi, institut kemahiran serta sekolah teknik dan vokasional.

“Buku ini menceritakan apa itu komposit, macam mana nak buat produk daripada bahan komposit, proses-proses untuk jadikan produk komposit. Macam mana nak buat dengan skil kemahiran sedia ada.

“Ada 10 proses nak buat, semua itu diterangkan dalam lima bab daripada industri kecil dan sederhana hinggalah industri berat,” ujar Khairulnisan.

Buku ini juga sesuai untuk rujukan pelajar sekolah menengah yang mengambil mata pelajaran Reka Cipta yang ingin meneroka potensi dalam bidang Kejuruteraan Bahan, Sains Bahan, Teknologi Bahan, Kejuruteraan Polimer dan Kejuruteraan Pembuatan. Juga boleh dijadikan sumber rujukan tambahan yang dapat membekalkan ilmu pengetahuan dan kefahaman asas berhubung bidang pembuatan produk komposit berasaskan polimer.

Selain itu, boleh menjadi rujukan kepada para pendidik, jurutera, pengurus dan penyelia. Bagi mereka yang memerlukan penerangan lebih mendalam dan terperinci tentang proses tertentu, senarai rujukan yang disertakan di akhir buku ini boleh digunakan sebagai panduan.

Buku ini turut bermanfaat kepada pembaca terutama yang terlibat dengan kerja ketukangan dan perkhidmatan kejuruteraan secara lebih cekap, berkualiti dan selamat dalam usaha meningkatkan sains dan teknologi negara. Berharga RM100, ia boleh diperoleh menerusi laman sesawang DBPNiaga.

Menurut Khairulnisan, buku-buku kejuruteraan berbahasa Melayu dalam pasaran tersangat kurang jumlahnya terutama berkaitan teknologi komposit. Ia lebih menjurus kepada pengiraan dan permintaan yang terlalu sarat teori.

Berban­ding buku ditulisnya yang lebih kepada teori amali untuk disesuaikan dalam pekerjaan dan industri. Kandungan buku ini adalah berdasarkan pengalamannya sendiri bekerja selama 35 tahun.

Khairulnisan memulakan kerjaya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1996 dan kini merupakan Penolong Jurutera Kanan Makmal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Beliau mendapat perakuan sebagai Tenaga Pakar Industri Negara (Pengajar) dalam bidang kemahiran penyenggaraan mekanikal dan elektrikal daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia pada 2008.

Beliau juga mendapat perakuan sebagai Juruteknik Bertauliah dalam bidang Teknologi Pengeluaran dan Industri daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) pada 2017.

Selain itu, beliau turut terlibat mengendalikan modul pengajaran sebagai penceramah, pengajar dan demonstrator beberapa modul seperti menggegas, operasi mesin larik dan kisar, teknologi kimpalan arka dan fabrikasi logam, teknologi pembentukan logam, fabrikasi produk komposit, penyelenggaraan mesin (mekanikal) dan penyenggaraan dan servis kenderaan ringan (petrol).

Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan buku bertajuk Kimpalan Arka SMAW, GMAW dan GTAW terbitan UTM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×