KANGAR: Seorang Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini bersama rakan mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi memperdaya seorang wanita untuk memberikan wang sumbangan berjumlah RM800.
Tertuduh, Azizi Ahamad, 50, dan Syaharizul Sahar, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang wanita bagi mempercayai bahawa sumbangan berjumlah RM300 telah diberikan kepada penduduk Kampung Bakau, di sini, sedangkan wang itu telah digunakan olehnya sendiri. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa telah menipu wanita sama bagi mempercayai bahawa sumbangan berjumlah RM500 telah diberikan kepada penduduk di situ.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Bakau 4, Kampung Bakau, pada 3 dan 4 September tahun lalu. Berikutan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Undang-Undang Malaysia Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tempoh lima tahun atau denda atau keduanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM negeri, S. Sujatha. Tertuduh pula diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Nur Ayuni Ahmad.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar dapat menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh atas kesalahan dilakukan itu. Peguam tertuduh bagaimanapun merayu mahkamah agar dapat mempertimbangkan hukuman minimum memandangkan tertuduh telah membuat pengakuan bersalah selain menjimatkan masa dan kos.
Mahkamah memutuskan tertuduh dikenakan hukuman denda RM4,000 setiap seorang bagi dua pertuduhan itu dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama dua bulan. Kedua-dua tertuduh turut membayar hukuman denda ditetapkan itu. – UTUSAN










