PETALING JAYA: Seramai 2,991 mangsa banjir daripada 892 keluarga ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10.30 pagi ini di tujuh negeri.
Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri yang masih merekodkan pembukaan PPS ialah Johor, Pahang, Sabah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Sarawak.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,404 orang, diikuti Sabah (221), Johor (151) dan Terengganu (96).
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing dikategorikan dalam Tahap Buruk susulan amaran hujan berterusan sehingga esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, keadaan berkenaan berisiko mengakibatkan banjir besar, banjir kilat, peningkatan mendadak paras sungai serta gangguan terhadap laluan utama dan operasi lapangan.
Dalam perkembangan berkaitan, dua sungai masing-masing di Pahang dan Sarawak dilaporkan melepasi tahap bahaya susulan hujan lebat berterusan.
Setakat pukul 6.30 pagi tadi, Sungai Belat di Sri Damai (F2), Kuantan merekodkan paras 1.36 meter melebihi tahap bahaya, manakala Sungai Mentiga di Jambatan Chini (F1), Pekan meningkat 0.4 meter melepasi paras berkenaan.
Kedua-dua sungai itu tidak menunjukkan sebarang perubahan trend setakat jam 5.30 pagi tadi.
Di Sarawak, paras air di stesen Long Teru, Miri meningkat 0.3 meter melepasi tahap bahaya dengan trend kekal, manakala stesen Marudi, Miri melepasi paras bahaya sebanyak 0.13 meter dengan trend menurun.
Selain itu, beberapa sungai di Pahang turut melepasi tahap amaran antaranya Sungai Kenau di Sungai Rimau (F2), Kuantan; Sungai Soi di Jalan Pekan–Kuantan (N), Kuantan; Jambatan Chegar Perah (F1), Lipis; serta Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (F1), Kuantan.
Sungai lain yang turut merekodkan paras melepasi tahap amaran ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut, Terengganu; Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, Johor; Sungai Kelantan di Kuala Krai (F1), Kuala Krai, Kelantan; Sebatan, Betong, Sarawak; Sungai Siput di Kampung Sungai Siput (F2), Alor Gajah, Melaka; Sungai Slim di Slim River, Muallim, Perak; serta Sungai Gemas di Kampung Tiong (F2), Tampin, Negeri Sembilan.
MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Hujan Lebat Berterusan Tahap Buruk yang berkuat kuasa sehingga esok melibatkan daerah Dungun dan Kemaman (Terengganu); Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin (Pahang); serta Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi (Johor).
Sementara itu, Amaran Hujan Berterusan Tahap Waspada dikeluarkan bagi Kelantan; Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang (Terengganu); Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera (Pahang); serta Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru (Johor). – UTUSAN










