BANGKOK: Kuartet 4×100 meter (m) negara yang meraih perak dengan memecahkan rekod kebangsaan di Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin memerlukan pendedahan lebih banyak kejohanan dalam dan luar negara.
Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, pendedahan kepada kejohanan tersebut akan menambah keserasian atlet bagi membolehkan mereka melakar catatan bawah 39 saat (s).
Katanya, kejayaan meraih pingat perak dan melakar rekod kebangsaan yang baharu itu sebenarnya tidak datang dengan mudah kerana kuartet negara telah menjalani latihan dan pemilihan yang ketat sebelum hadir ke Thailand.
“Sebenarnya kita dah buat tiga kali kem pemilihan dan kuartet ini memang serasi bersama selepas menyertai beberapa kejohanan di dalam negara. Jadi, keserasian ini yang menyebabkan mereka menang.
“Memang kita jangka mereka akan buat terbaiklah sebenarnya. Bukan, bukan kata sekadar orang kata cakap kosong. Tetapi, memang dijangkakan melalui latihan yang mereka telah buat di Malaysia.
“Semestinya pertandingan berbeza dari segi latihan sebenarnya, tapi dalam pertandingan yang kompetitif, persaingan tu akan jadi lebih orang kata lebih tinggi tahapnya.
“Ini yang membolehkan mereka buat satu pencapaian yang baik, memecahkan rekod kebangsaan. latihan dan pertandingan itu, sebab tu saya rasa pendedahan pertandingan pada masa akan datang tu perlu lebih banyak.
“Dengan cara ini, mereka akan dapat keserasian yang mungkin boleh bawah daripada 39 saat. Insya-Allah dengan Azeem (Muhammad Azeem Fahmi) yang ada bersama kita nanti,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Nasional Supachalasai, kelmarin, kuartet negara yang dianggotai Aliff Iman Mohd Fahimi, Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencatat masa 39.03s untuk meraih pingat perak.
Sementara itu Thailand yang diketuai jaguh pecut Asia Tenggara Puripol Boonson serta Thawatchai Himaiad, Cyhayut Khongprasit, dan Soraoat Dapbang meraih emas dengan catatan 38.28s, manakala gangsa milik kuartet, Indonesia.
Rekod kebangsaan dalam acara 4x100m sebelum ini adalah 39.09s yang dilakukan sewaktu kuartet negara merangkul pingat perak di Sukan SEA Hanoi di Vietnam pada 2022. – UTUSAN










