BPMB salur RM97.6 juta biayai pembangunan Coronation Square

BPMB salur RM97.6 juta biayai pembangunan Coronation Square

WEE Yee Tat (kanan) bersama Kok Wai Sing (kiri) bersama wakil kumpulan semasa majlis menandatangani perjanjian kemudahan pembiayaan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memeterai kemudahan pembiayaan berjangka-i berjumlah RM97.63 juta dengan Coronade Properties Sdn Bhd (CPSB) bagi membiayai kerja-kerja infrastruktur awam untuk Coronation Square di Johor Bahru.

Pembangunan bersepadu bercampur tersebut ditetapkan kerajaan negeri sebagai pemangkin kepada Ibrahim International Business District (IIBD).

Pembiayaan itu menyokong usaha penjanaan semula pusat bandar Johor Bahru melalui pembangunan infrastruktur yang meningkatkan keterhubungan bandar, mobiliti mampan serta kebolehdiaman kawasan pusat bandar.

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan Korporat dan Pelaburan BPMB, Wee Yee Tat berkata, pembiayaan berkenaan selari dengan keutamaan pembangunan negara, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur berimpak tinggi.

“Projek ini mencerminkan komitmen BPMB dalam membiayai infrastruktur yang mengukuhkan asas ekonomi di samping menyokong mobiliti yang mampan dan mudah diakses. 

“Integrasi Coronation Square dengan Sistem Transit Rapid (RTS) Link menjadikannya pembangunan strategik bagi Johor Bahru dan kami berbesar hati dapat menyokong infrastruktur yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, perniagaan serta pengguna pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Coronade Properties, Kok Wai Sing berkata, Coronation Square memainkan peranan penting dalam menyokong agenda penjanaan semula pusat bandar Johor Bahru.

“Pembangunan ini dirangka sebagai pemangkin kepada transformasi bandar dengan penekanan terhadap infrastruktur moden dan tahap keterhubungan yang lebih baik.

“Sokongan BPMB membolehkan pelaksanaan infrastruktur penting yang meningkatkan aksesibiliti, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengukuhkan evolusi Johor Bahru sebagai metropolis yang lebih berhubung,” katanya.

Coronation Square yang terletak secara strategik di sepanjang Jalan Trus dan Jalan Abdullah Ibrahim merangkumi pelbagai komponen infrastruktur awam yang menyokong pembangunan Johor Bahru sebagai pusat bandar yang lebih mesra pejalan kaki dan berdaya ekonomi.

Antara komponen utama projek ialah laluan pejalan kaki bertingkat sepanjang 210 meter yang menghubungkan Coronation Square secara langsung ke Stesen RTS Link Bukit Chagar, dengan anggaran masa perjalanan sekitar empat minit. 

Secara keseluruhan, pembangunan Coronation Square diunjurkan menjana lebih RM9 bilion limpahan ekonomi dan mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunannya. 

Projek ini merangkumi komponen pangsapuri perkhidmatan, menara pejabat, suite perubatan, hotel serta kemudahan runcit yang menyokong pertumbuhan aktiviti komersial dan ekonomi bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×