Prabowo jangka banjir Sumatera pulih dalam tempoh dua hingga tiga bulan

Prabowo jangka banjir Sumatera pulih dalam tempoh dua hingga tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, aktiviti di Sumatera yang dilanda banjir besar boleh kembali normal dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, susulan bencana yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

Menurut data rasmi, jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh taufan itu mencecah 1,030 orang setakat Isnin dengan 206 lagi masih dilaporkan hilang.

Bencana yang melanda Sumatera pada akhir November itu turut memusnahkan kediaman dan memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan. Ribut yang sama juga mengorbankan kira-kira 200 orang di selatan Thailand dan Malaysia.

Berucap pada mesyuarat Kabinet pada Isnin, Prabowo berkata, kerja-kerja pembinaan semula di tiga wilayah terjejas sudah pun bermula, sambil memohon maaf kerana pihak berkuasa tidak mampu menyelesaikan proses tersebut dalam masa singkat.

“Saya tidak mempunyai pasukan seperti Nabi Musa. Kita tidak boleh menyelesaikan perkara ini dalam tiga hingga lima hari.

“Mungkin dalam dua hingga tiga bulan, aktiviti akan kembali normal,” katanya.

Prabowo berkata, pihak berkuasa akan membina ratusan rumah sementara untuk penduduk yang dipindahkan.

Kos pembinaan semula di Sumatera dianggarkan mencecah sekurang-kurangnya AS$3.11 bilion (RM12.71 bilion), menurut pegawai kanan kerajaan.

Kumpulan alam sekitar pula mendakwa penebangan hutan yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan dan pembalakan memburukkan lagi kesan banjir tersebut.

Kementerian Alam Sekitar Indonesia bertindak menggantung sementara operasi syarikat yang dituduh melanggar peraturan dan akan mewajibkan mereka menjalani audit alam sekitar.

Prabowo menegaskan, permit mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan hasil audit perlu ditarik balik.

Menteri Perhutanan Indonesia sebelum ini berkata, kerajaan akan membatalkan 22 permit penggunaan hutan yang melibatkan lebih sejuta hektar kawasan.

Daripada jumlah itu, lebih 100,000 hektar terletak di Sumatera, namun pembatalan tersebut tidak dikaitkan secara langsung dengan banjir.

Prabowo turut berkata, keadaan di Sumatera kini terkawal dan beberapa pemimpin asing menawarkan bantuan.

“Saya katakan, terima kasih atas keprihatinan anda, kami boleh menanganinya,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×