KueMue terajui teknologi separa automasi untuk PMKS 

kuemue terajui teknologi separa automasi untuk PMKS 

JUWAIDY SUHAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: kuemue Technology Sdn. Bhd. terus mengorak langkah sebagai pemain teknologi makanan tempatan menerusi inovasi utamanya, siri Bakineer, yang kini menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat dalam segmen automasi separa untuk pengeluaran makanan berskala kecil.

Ditubuhkan pada 2022, kuemue pada mulanya bermula dengan penyelesaian ringkas untuk bakeri kecil, namun teknologi Bakineer telah mengubah syarikat itu daripada sekadar pembangun alat pengguna kepada penyedia penyelesaian profesional untuk perusahaan mikro dan kecil (PMKS) dalam industri makanan.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Juwaidy Suhaimi berkata, peningkatan permintaan terhadap Bakineer membuktikan wujud keperluan mendesak dalam pasaran untuk peralatan pengeluaran yang tahan lasak, mampu milik dan mampu menggantikan proses manual yang selama ini membantutkan pengembangan perniagaan kecil.

“Ramai pembuat kuih dan roti dalam skala kecil tidak mampu membeli mesin industri bernilai puluhan ribu ringgit, tetapi pada masa sama tidak boleh lagi bergantung pada peralatan rumah yang tidak direka untuk operasi harian. Bakineer mengisi jurang itu,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Bakineer direka khusus untuk mengambil alih tugas-tugas berulang seperti pembentukan, pemotongan dan pembahagian adunan, proses kritikal yang sering menentukan konsistensi, kapasiti dan kualiti sesuatu produk makanan.

“Matlamat kami adalah menjadikan produktiviti tahap industri lebih mudah dicapai oleh PMKS. Jadi Bakineer direka supaya intuitif, pantas dipelajari dan memberikan hasil yang seragam walaupun dengan tenaga kerja minimum,” jelasnya.

Juwaidy berkata, peningkatan permintaan terhadap Bakineer menjadi faktor utama yang memacu transformasi proses kejuruteraan kuemue, termasuk penggunaan bahan yang lebih tahan lama, dokumentasi piawaian lebih ketat serta peningkatan kawalan kualiti bagi memenuhi standard pengeluaran komersial.

Menurutnya, kelebihan terbesar Bakineer ialah kebolehan menghasilkan hasil yang konsisten dan merupakan satu faktor penting yang sering gagal dicapai dalam proses manual.

“Dalam operasi manual, hasil bergantung pada kemahiran individu. Dengan Bakineer, setiap produk keluar dengan bentuk, berat dan kualiti yang seragam. Ini memudahkan pengusaha memenuhi permintaan pelanggan dan meningkatkan kapasiti pengeluaran harian,” katanya.

Beliau berkata visi jangka panjang kuemue ialah meletakkan Bakineer sebagai standard baharu bagi pengeluaran makanan kecil dan sederhana, dengan pelan masa hadapan untuk mengintegrasikan sensor, data masa nyata dan ciri dapur pintar bagi meningkatkan ketepatan serta kebolehulangan hasil.

“Teknologi ini bukan sekadar mesin. Ia platform yang akan berkembang mengikut keperluan pengusaha kecil. Bakineer ialah langkah pertama untuk memodenkan industri makanan berskala kecil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×