Pertubuhan belia perlu bersedia pindaan akta baharu

Pertubuhan belia perlu bersedia pindaan akta baharu

SEHINGGA 30 November 2025, sebanyak 989 pertubuhan belia telah berjaya meminda perlembagaan masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJABAT Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah menganjurkan sesi libat urus pertubuhan belia peringkat kebangsaan 2025.

Sesi libat urus ini merupakan sebuah inisiatif untuk memperkukuh kefahaman dan kesiapsiagaan pertubuhan belia menjelang pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668] yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026.

Acara yang merupakan kemuncak kepada 14 siri libat urus seluruh negara ini merupakan platform dialog yang konstruktif, perkongsian maklumat yang komprehensif serta penerangan terperinci mengenai keperluan undang-undang berkaitan pelaksanaan transisi umur kepimpinan belia. Seramai 600 pemimpin dan ahli pertubuhan belia telah terlibat dalam siri-siri libat urus yang dianjurkan.

Pelaksanaan transisi di bawah pindaan akta ini bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi merupakan peralihan generasi yang signifikan.

Peralihan ini membuka ruang yang lebih luas kepada pemimpin muda berusia bawah 30 tahun untuk menerajui pertubuhan belia serta memainkan peranan lebih besar dalam ekosistem kepimpinan negara.

Sehingga 30 November 2025, sebanyak 989 pertubuhan belia telah berjaya meminda perlembagaan masing-masing.

Data ROY turut menunjukkan bahawa seramai 53,379 pemimpin dan 546,958 ahli belia berumur bawah 30 tahun kini aktif dalam pertubuhan, sekaligus membuktikan kesediaan golongan belia untuk menerajui kepimpinan.

Selain aspek perundangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memperkukuh sokongan kepada pertubuhan belia melalui pelbagai skim geran dan bantuan, antara lain termasuk Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK), Dana Pembangunan Belia dan Rakan Muda, Dana Antarabangsa Belia (IYF@KBS).

Inisiatif pembiayaan ini bertujuan memperkasa pelaksanaan program berpersatuan yang berperanan sebagai mekanisme pemerkasaan sosial, khususnya dalam membanteras isu seperti penyalahgunaan dadah, buli dan gejala jenayah dalam kalangan belia.

Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Majlis Belia Malaysia (MBM), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) serta agensi-agensi KBS yang lain. – UTUSAN

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Belia Dan Sukan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×