KERAJAAN telah mengambil langkah strategik dengan memindahkan pengurusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Langkah ini bukan sekadar penyusunan semula pentadbiran, sebaliknya merupakan reformasi menyeluruh yang bertujuan memperkukuh penyelarasan penilaian, menyeragamkan standard akademik dan meningkatkan keberkesanan laluan prauniversiti ke peringkat pengajian tinggi.
Pemindahan ini turut digariskan sebagai antara strategi utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026–2035 bagi memastikan sistem prauniversiti lebih terarah, seragam dan selaras dengan keperluan universiti negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menjelaskan bahawa pengambilalihan ini merupakan sebahagian daripada usaha pembaharuan utama yang akan dilaksanakan secara rasmi dalam masa terdekat.
Inisiatif ini bertujuan memantapkan keserasian sistem prauniversiti dengan keperluan pendidikan tinggi negara, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan berdaya saing, berdisiplin dan memenuhi tuntutan pasaran kerja global.
Dalam konteks penyelarasan tersebut, kepentingan mengintegrasikan STPM tahfiz di bawah KPT tidak wajar dipandang ringan.
STPM tahfiz yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Islam (BPI) merupakan program integratif yang menggabungkan hafazan al-Quran dan subjek akademik STPM yang lain.
Program ini telah terbukti melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki disiplin rohani, pembinaan sahsiah unggul dan potensi kepimpinan yang seimbang.
Penyertaan STPM tahfiz di bawah KPT akan memastikan program ini diberi pengiktirafan sewajarnya, setara dengan aliran akademik lain, serta membolehkan pelajar tahfiz bersaing secara adil dalam sistem prauniversiti negara.
Penyatuan STPM, matrikulasi dan STPM tahfiz di bawah ekosistem KPT membuka ruang kepada penambahbaikan kurikulum secara menyeluruh, penyelarasan standard penilaian lebih konsisten dan pemantapan kecekapan pentadbiran.
Usaha ini memastikan semua aliran prauniversiti, termasuk tahfiz, mendapat pengiktirafan setara dan peluang adil dalam laluan ke pendidikan tinggi. Strategi ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang berkualiti, berintegriti dan responsif terhadap tuntutan abad ke-21.
Pengarusperdanaan STPM tahfiz di bawah KPT merupakan langkah strategik yang dapat memastikan penyelarasan laluan prauniversiti lebih mantap, pengiktirafan setara bagi semua aliran pendidikan dan pembangunan pelajar yang seimbang dari aspek intelektual, rohani serta sahsiah.
Pelaksanaan terancang disertai sokongan kolektif semua pihak diyakini mampu memperkukuh sistem pendidikan prauniversiti negara serta meningkatkan daya saing pelajar Malaysia di pentas global. – UTUSAN
DR. MOHD YUSRI IBRAHIM
Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)










