Israel dakwa bunuh komander kanan Hamas di Gaza - Utusan Malaysia

Israel dakwa bunuh komander kanan Hamas di Gaza

RAAD SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel pada Sabtu mendakwa membunuh seorang lagi ketua pengeluaran senjata sayap ketenteraan Hamas di Gaza, susulan letupan bom yang mencederakan dua anggota tenteranya di selatan wilayah itu.

“Sebagai tindak balas terhadap pengaktifan alat letupan Hamas yang mencederakan pasukan kami hari ini (Sabtu) Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel Katz mengarahkan penyingkiran Raad Saad, ketua pembinaan kekuatan Hamas,” menurut kenyataan bersama perdana menteri dan menteri pertahanan Israel.

Tentera Israel menyifatkan Saad sebagai antara ‘arkitek’ utama serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza.

Terdahulu pada Sabtu, tentera Israel memaklumkan dua anggota simpanan cedera ringan selepas alat letupan berkenaan meletup semasa satu operasi pembersihan kawasan di selatan Gaza.

Hamas bagaimanapun tidak mengesahkan kematian Raad Saad.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata sebuah kenderaan awam telah diserang di luar Bandar Gaza dan menegaskan tindakan tersebut merupakan pelanggaran gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Saad sebelum ini berperanan sebagai pegawai Hamas yang bertanggungjawab ke atas pembuatan senjata dan pernah mengetuai bahagian operasi kumpulan militan itu.

Kenyataan Israel menyebut beliau sedang ‘terlibat dalam usaha membina semula organisasi pengganas’, sekali gus melanggar syarat gencatan senjata.

Serangan Israel di barat Bandar Gaza itu mengorbankan empat orang, menurut seorang wartawan Associated Press yang melihat mayat mangsa tiba di Hospital Shifa. Tiga lagi dilaporkan cedera, menurut Hospital Al-Awda. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×