KONDOMINIUM Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang, Selangor yang pernah menjadi saksi tragedi paling memilukan negara pada 11 Disember 1993 telah terbiar hampir 32 tahun.
Usaha merobohkan dua blok tinggalan kini memasuki fasa paling kritikal apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan proses perundangan bagi tindakan tersebut sedang diselesaikan di peringkat mahkamah.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, penduduk sekitar telah lama mendesak supaya struktur yang tidak terurus itu dihapuskan kerana menjadi lokasi kacau ganggu, aktiviti tidak bermoral dan menimbulkan kebimbangan keselamatan.
Katanya, pemimpin setempat serta pemegang unit-unit lama Highland Towers juga menyatakan sokongan penuh agar bangunan tersebut diruntuhkan dan tapaknya dipulihkan secara bersesuaian.
Hasrolnizam berkata, MPAJ bertindak sebagai pemudah cara untuk menggerakkan proses itu memandangkan tanah tersebut masih mempunyai pemilik.
“Keseluruhan tapak melibatkan 138 unit, di mana 111 unit dimiliki pemaju manakala baki 27 unit dimiliki pihak lain. MPAJ telah mengeluarkan notis kacau ganggu, namun bagi menguatkuasakan notis itu, pihak kami memerlukan perintah mahkamah seperti ditetapkan undang-undang.
“Permohonan awal ke Mahkamah Majistret, Ampang bagaimanapun ditolak kerana syarikat yang perlu menerima notis berkenaan telah digulungkan, menjadikan proses perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi terlebih dahulu.
“MPAJ telah melantik peguam dan kami sedang melengkapkan tatakelola sebelum penghantaran permohonan ke Mahkamah Tinggi.
“MPAJ menjangkakan permohonan ke Mahkamah Tinggi dapat dikemukakan dalam bulan ini dan berharap pengurusan kes dapat dimulakan sebelum akhir tahun,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi, barulah perintah perobohan dapat dipohon semula di Mahkamah Majistret.
Hasrolnizam berkata, pihaknya menyasarkan perobohan dapat diselesaikan dalam tempoh setahun, bergantung kepada keputusan mahkamah dan kerjasama semua pihak.
“Kita harap seawal suku pertama tahun depan kita sudah dapat hala tujunya daripada Mahkamah Tinggi dan kemudian bawa semula keputusan itu ke Mahkamah Majistret untuk kebenaran perobohan dan proses ini pula kita jangka ambil masa tiga hingga enam bulan,” katanya.
Beliau berkata, apa yang merumitkan adalah 11 daripada 27 pemilik unit bukan milik pemaju tidak dapat dikesan, menyebabkan proses persetujuan terbantut.
“Walaupun pemilik tanah bersetuju bangunan dirobohkan, mereka tidak boleh bertindak sendiri kerana tidak memiliki keseluruhan premis serta terikat dengan syarat perundangan,” katanya.
Katanya, penduduk sering mengadu mengenai aktiviti tidak sihat, jenayah kecil dan kehadiran pihak luar yang memasuki kawasan bangunan terbengkalai itu.
TAPAK DIBANGUNKAN TAMAN REKREASI

Hasrolnizam berkata, pemaju telah menyatakan komitmen untuk melaksana kerja perobohan dan pembangunan semula tapak selepas ia dibersihkan.
“MPAJ juga sudah menjalankan beberapa sesi libat urus bersama pemilik tanah, pemaju dan penduduk bagi memastikan maklumat mengenai status semasa disampaikan secara telus.
“Dalam Rancangan Tempatan MPAJ, tapak Highland Towers seluas 2.5 ekar itu ditetapkan sebagai kawasan taman rekreasi dan tidak akan dibangunkan semula untuk tujuan komersial atau perumahan.
“Namun, kawasan sekelilingnya mempunyai potensi pembangunan tertakluk kepada permohonan dan syarat kelulusan yang ketat serta pandangan penduduk setempat,” katanya.
Hasrolnizam berkata, meskipun Ampang sering dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh, kawal selia pembangunan hari ini jauh lebih teliti berbanding projek era 70-an dan 80-an.
“Sekarang setiap cerun dipantau, dipetakan dan dibuat penstabilan. Kelulusan pembangunan juga lebih ketat,” katanya.
Tragedi Highland Towers kekal terpahat sebagai antara bencana bangunan runtuh paling buruk di negara ini apabila blok 1 kondominium itu runtuh akibat pergerakan tanah selepas hujan lebat berpanjangan.
Dalam kejadian tersebut, seramai 48 mangsa terkorban manakala dua lagi blok iaitu blok 2 dan blok 3 diisytiharkan tidak selamat dan dikosongkan sepenuhnya selepas tragedi.
Sejak itu, kawasan berkenaan kekal terbiar dan menjadi perhatian umum kerana risiko keselamatan serta isu pencerobohan berulang, sekali gus mendorong MPAJ meneruskan usaha mendapatkan penyelesaian jangka panjang.
HANTU, MISTERI DAN MISTIK

Sebagai sebuah kawasan kediaman eksklusif suatu ketika dulu yang kini terbiar sepi, Highland Towers mengundang bualan pelbagai kisah seram dan mistik.
Cerita dua lelaki berjubah putih, hantu wanita menaiki teksi ke Highland Towers dan hantu lelaki bernama ‘Afiq’ menjadi sebahagian kisah menakutkan, selagi bangunan lama itu tidak dirobohkan.
Namun, bagi penduduk yang tinggal paling hampir atau hanya 50 meter dari tapak runtuhan, Datin Helen, 77, beliau tidak pernah ambil pusing dengan kisah seram yang menjadi bualan masyarakat.
Katanya, kediamannya di Taman Sri Ukay itu dibina suaminya, Datuk Mohinder Singh, 88, sejak 50 tahun lalu.
Menurutnya, ketika tragedi berlaku, kawasan rumahnya turut menjadi lokasi berkumpulnya pengamal media dan pihak berkuasa.
“Masih teringat lagi ketika itu kawasan rumah kami penuh dengan media, selain pihak berkuasa yang menyelaras operasi menyelamat.
“Ada media yang membuat laporan dari atas balkoni rumah kami dengan latar belakang Highland Towers,” katanya.
Helen berkata, selepas tragedi, dua lagi blok Highland Towers yang masih berdiri dan tidak terurus menggamit pelbagai cerita seram dikongsi oleh masyarakat setempat.
“Cerita dua bangunan terbiar ini ada hantu sudah lali saya dengar, kata ada macam-macam bunyilah, mana ada hantu, itu cakap-cakap sahaja sebab bangunan sudah lama. Kami tidak pernah pun terjumpa atau diganggu selepas tragedi itu berlaku hingga hari ini.
“Kami hidup tenang dan aman sahaja di rumah, cuma yang kami bimbang bila ada yang curi-curi masuk, ambil gambarlah atau jadi tempat penagih dadah,” katanya.
Beliau turut menyokong sekiranya dua bangunan itu dirobohkan dan kawasan terbabit dibangunkan semula.
“Kalau ada pihak yang nak buat taman rekreasi, saya sokonglah, daripada kawasan ini terbiar begitu sahaja, rugi. Kalau ada taman cantiklah kawasan ini,” katanya.
KERJA-KERJA PEMBERSIHAN BERMULA JULAI

Tinjauan Mingguan Malaysia bersama MPAJ baru-baru ini mendapati, kerja-kerja pembersihan sudah dilaksanakan sekitar kawasan yang sebelum ini dipenuhi belukar.
Bangunan yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan kelihatan lapang selepas semak samun serta pokok-pokok besar dibersihkan bermula pertengahan Julai lalu.
Malah, setiap tingkap di dua blok yang mempunyai 12 tingkat itu turut diletakkan kanvas bagi mengelak pencerobohan dan pencemaran habuk ke kediaman berhampiran.
Difahamkan, pihak kontraktor berhadapan pelbagai cabaran untuk melakukan pembersihan antaranya haiwan liar berbisa seperti ular.
Mereka juga berdepan orang awam yang cuba menceroboh kawasan itu untuk melakukan aktivti tidak bermoral dan paranormal, bagi meraih tontonan di media sosial walaupun jalan masuk sudah dihalang dengan zink.
SAMPAI BILA HENDAK BIARKAN?
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd. Kamri Kamaruddin berkata, perobohan dua blok Highland Towers dijangka mampu menyelesaikan aduan berbangkit oleh masyarakat.
“Tak kan kita nak biarkan bangunan itu selama-lamanya di situ, pemilik unit juga sanggup keluarkan kos untuk robohkan bangunan dan harap perkara ini dapat diselesaikan daripada sudut undang-undang.
“Sebagai ADUN kawasan, saya terima banyak aduan daripada penduduk sekitar yang bangkitkan sampai bila hendak biarkan keadaan macam itu. Sekarang ini kita lihat kawasan sekitarnya sedikit bersih selepas syarikat pemilik bangunan mengupah kontraktor bagi membersih dan menyelia kawasan itu,” katanya.
Bangunan blok 1 tumbang kira-kira pukul 1.35 tengah hari.
Runtuhan dalam masa tidak sampai lima minit itu menyebabkan 48 penghuni terkorban manakala hanya tiga mangsa sahaja berjaya dibawa keluar.
Kondominium yang dibina pada 1974 mula diduduki tujuh tahun kemudian, menjadi pilihan orang ramai kerana lokasinya di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan. – UTUSAN









