DI SEBALIK budaya berpasangan sehingga mencetuskan trend couple goals sebelum bernikah, umat Islam sering terleka bahawa asas perkahwinan tidak bertunjangkan cinta semata-mata tetapi ilmu, adab dan keyakinan pada qada’ dan qadar Allah yang tertulis di Luh Mahfuz sejak sekian lama.
Demikian, seorang penceramah bebas dan juga agamawan muslimah, Ustazah Noraine Abu mengingatkan bahawa di situ letaknya peranan ilmu tauhid yang perlu dipelajari dan difahami oleh semua umat Islam sebagai nadi alam perkahwinan.
Jelasnya, sekiranya setiap daripada umat Islam khususnya wanita memahami asas tauhid, mereka tidak akan terjebak dengan sebarang tingkah laku yang dikhuatiri menjerumuskan diri masing-masing ke kancah dosa ketika berpasangan sebelum bernikah.
“Tauhid mendidik hati kita untuk meletakkan pergantungan kepada Allah SWT dan percaya bahawa jodoh itu sudah tertulis di Luh Mahfuz.
Namun hari ini budaya berpasangan menjadi trend biasa. Namun, hakikatnya perbuatan itu menghampiri zina dan Allah melarangnya. Jika benar jodoh ditetapkan dengan si polan dan polan, ia akan terjadi tanpa mengabaikan hukum.
“Permasalahan bermula sejak sebelum bernikah apabila anak muda tidak memahami batas syarak. Pergaulan bebas, pertemuan tanpa keperluan dan hubungan tanpa akad menyebabkan keberkatan hilang sebelum rumah tangga dibina.
“Jodoh yang tertulis di Luh Mahfuz pasti menemukan dua insan walaupun mereka tidak pernah keluar berdua atau berhubungan secara bebas. Keyakinan terhadap ketentuan Ilahi adalah benteng kepada maksiat yang tidak disedari,” katanya ketika ditemui di pondoknya di Kuala Ketil, Sik baru-baru ini.
NORAINE ABU
Umur: 56
Kelahiran:
• Kuala Lumpur
Pendidikan:
• Pondok Haji Salleh, Sik, Kedah
• Madrasah Pattani, Thailand
• Universiti Al Azhar, Mesir
Jawatan:
• Mudirah dan Pengasas Pondok Ihya Ulumiddin Linnisa, Kuala Ketil Kedah
• Penceramah bebas
• Penulis buku
• Penterjemah kitab
Katanya, melangkah ke alam perkahwinan juga tidak boleh dilakukan secara sembrono tanpa ilmu, melainkan mendalami terlebih dahulu setiap tujuan dan tanggungjawab dalam rumah tangga sebagai seorang suami dan isteri.
“Dalam hal perkahwinan, ilmu adalah perkara pertama yang perlu dituntut. Ilmu akad nikah, tanggungjawab suami isteri dan adab berumah tangga harus difahami sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Tanpanya, hubungan mudah retak.
“Kursus perkahwinan yang diwajibkan hari ini tidak mencukupi untuk memberi kefahaman menyeluruh tentang kehidupan selepas akad. Ia sekadar pengenalan, sedangkan realiti rumah tangga memerlukan pengajian dan bimbingan berterusan.
“Sebab itu, saya ingin syorkan kepada wanita semua yang ingin mendirikan rumah tangga belajarlah ilmu perkahwinan supaya bersedia berhadapan dengan apa juga cabaran nanti,” katanya.
Ustazah Noraine turut merujuk kepada Kitab Muhimmah yang dikarang Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani yang memberi peringatan kepada wanita khususnya bahawa seorang isteri tentang kepentingan menunaikan tanggungjawab dengan baik kepada suami selain membicarakan tentang peringatan menjauhi derhaka.
“Pergi belajar kitab seperti ini yang dikarang oleh alim ulama untuk memahami tanggungjawab seorang isteri. Islam menekankan peringatan keras tentang ketaatan dan peranan seorang isteri kepada suaminya demi kebahagiaan dunia dan akhirat,” katanya yang turut menterjemahkan kitab tersebut ke tulisan rumi.
Tambah beliau yang sudah menterjemahkan lebih 36 kitab daripada tulisan Jawi ke rumi itu, ujian rumah tangga bukan tanda kebencian Allah SWT tetapi adalah langkah untuk memperbaiki hidup dan membina keluarga yang lebih baik.
“Hidayah dan taufik adalah kurniaan Allah yang diberi kepada mereka yang memintanya dengan ikhlas. Dalam membina rumah tangga, wanita solehah sentiasa menjadikan agama sebagai asas, kerana hanya dengan kembali kepada Allah, keluarga akan mendapat ketenangan dan keberkatan.
Keyakinan kepada qada’ dan qadar, katanya, menjadi asas utama bagi wanita untuk menghadapi cabaran rumah tangga. Hanya apabila hati benar-benar percaya kepada ketetapan Allah, barulah seseorang mampu menerima ujian dan menyelesaikan masalah secara tenang serta berhemah.
Malang katanya, semakin banyak pasangan suami isteri kebelakangan ini menganggap perceraian adalah jalan terbaik untuk keluar daripada permasalahan rumah tangga sedangkan hal itu dibenci dalam Islam.-UTUSAN










