DATUK Seri Hajiji Noor kembali berkuasa dan mengangkat sumpah secara sah pada pukul 3 pagi, 30 November, lalu.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya hanya mendapat 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan gagal mendapat majoriti mudah iaitu 37 kerusi bagi membentuk kerajaaan negeri.
Dengan kerjasama dan sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas (sebanyak 5 kerusi), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3) dan Pakatan Harapan (PH/PKR) satu kerusi, Hajiji berjaya mendapat 38 kerusi.
Beberapa hari selepas Hajiji mengakat sumpah, Barisan Nasional (BN/UMNO) yang memiliki 6 kerusi menyatakan sokongan dan bekerjasama dengan GRS. Kedudukan Hajiji menjadi bertambah kukuh dengan sokongan itu. Walaupun dalam kempen pilihan raya pertembungan ‘tajam’ berlaku antara UMNO dan GRS tetapi atas alasan untuk perkukuh dan kestabilan kerajaan negeri membolehkan kerjasama itu berlaku.
Kembali kepada persoalan asas dalam rencana ini iaitu adakah kedudukan Hajiji kuat dalam politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan adakah beliau mendapat sokongan kuat pengundi Sabah? Bagaimana mengukur kuat atau tidaknya sokongan pengundi terhadap GRS dan Hajiji? Apakah yang perlu Hajiji lakukan setelah berjaya kembali memegang kuasa?
Bagi mengukur darjah kuat atau tidaknya sokongan terhadap sesuatu parti politik, kita dapat bahagikan kepada tiga kategori secara umum iaitu kedudukan sokongan yang lemah, sederhana dan kuat.Sokongan yang lemah merujuk jumlah ahli yang menang kurang daripada separuh. Dalam konteks Sabah, parti yang mendapat kurang daripada 37 kerusi DUN dianggap lemah.
Kategori sokongan yang sederhana adalah yang mendapat lebih sedikit daripada separuh tetapi kurang daripada dua pertiga. Ini bermakna antara 37 dan kurang daripada 49 kerusi DUN.
Kategori sokongan yang kuat adalah yang berada 49 kerusi dan lebih iaitu menang dua pertiga daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi DUN. Mana-mana parti politik yang mendapat jumlah 49 kerusi dan ke atas dikategorikan sebagai parti politik yang mendapat sokongan besar.
Dalam PRN Sabah ke-17, tiada sebuah parti politik pun yang mendapat 49 kerusi atau lebih, bahkan yang mendapat bilangan antara 37 dan 49 kerusi (kategori sederhana) pun tiada. Semua parti politik yang bertanding mendapat kurang daripada 37 kerusi. Dua buah parti yang menang agak besar adalah GRS (29 kerusi) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) (25 kerusi). Kedua-dua parti tidak dapat membentuk kerajaan negeri kerana gagal mendapat sekurang-kuranngnya 37 kerusi.
Dengan kerjasama ADUN Bebas, UPKO dan PH/PKR, Hajiji berjaya membentuk majoriti mudah dengan bilangan 38 orang ADUN. Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.
Persoalan utama, adalah Hajiji mempunyai kedudukan yang kuat dalam politik PRN dan mendapat sokongan yang kuat daripada seluruh pengundi Sabah? Jawapannya tidak.
Alasan yang pertama adalah GRS hanya mendapat 29 daripada 73 kerusi. Daripada darjah kategori yang dinyatakan di atas, GRS dan Hajiji berada dalam kategori lemah kerana berada di bawah daripada bilangan 37 kerusi. Jauh daripada berada dalam kategori sederhana dan kuat.
Jumlah 29 kerusi itu pun tidak semuanya dimenangi dengan mendapat sokongan besar pengundi dan majoriti besar serta benar-benar selamat. Terdapat tiga kerusi yang dimenangi dengan majoriti kurang daripada 500 undi, dua kerusi menang dengan majoriti kurang 1,000 undi dan terdapat 7 kerusi DUN yang GRS menang dengan majoriti kurang daripada 1,500 undi.
Kerusi tunggal yang dimenangi oleh calon PH/PKR di Melalap juga hanya dengan majoriti kecil 525 undi sahaja (Tanjong Kapor, 359 undi; Matunggong, 334 undi dan Kuamut, 457 undi).
Kerusi yang dimenangi GRS dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi pula ialah Labuk (979 undi) dan Tanjong Batu (981 undi).
Sementara kerusi yang dimenangi GRS dengan majoriti kurang daripada 1,500 undi ialah Banggi (1,306 undi), Kiulu (1,437 undi), Tanjung Keramat (1,153 undi), Kundasang (1,031 undi), Telupid (1,011 undi), Sungai Manila (1,260 undi) dan Balung (1,345 undi).
Dalam dinamika politik dan pengundi dalam pilihan raya DUN Sabah, kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil ini tidak begitu selamat bagi GRS. Dalam masa sama sokongan dan undi popular parti Warisan adalah besar, khususnya di kawasan DUN bandar dan separuh bandar.
GRS dan PH gagal memenangi sebarang kerusi di kawasan DUN bandar. Calon PH iaitu rakan kerjasama GRS gagal mempertahankan kerusi DUN bandar. Kerusi DUN bandar seperti Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Tanjong Aru, Kepayan, Elopura, Tanjong Papat dan Sri Tanjong adalah kawasan DUN bandar majoriti kaum Cina yang sebelum ini dimenangi dengan mudah oleh calon DAP atau PKR kaum Cina.
Dalam PRN Sabah ke-17 ini, calon PH sama ada PKR atau DAP gagal mempertahankan kerusi tersebut dan dimenangi Warisan dengan majoriti besar. Jika kerusi DUN majoriti kaum Cina ini berjaya dimenangi PH sekurang-kurangnya 10 kerusi (ini adalah angka biasa dalam keputusan pilihan raya sebelum ini), maka gabungan GRS dan PH akan dapat berjaya membentuk kerajaan negeri dengan mudah.
Keadaan telah berubah seakan ada sesuatu isu besar yang tidak disenangi rakyat terhadap pimpinan Hajiji sehinggakan parti yang bekerjasama dengan beliau pun ditolak sepenuhnya oleh pengundi Sabah.
FAHAMI RAKYAT
Bagi meningkatkan sokongan dan membina keyakinan semula kepada GRS dan pimpinan beliau, Hajiji harus menyelami denyut nadi dan kehendak rakyat dengan mendalam.
Ketidak puasan hati rakyat perlu diselami dengan mendalam, tidak hanya dengan gambaran umum yang kabur. Isu tiga serangkai (air, letrik dan jalan raya) perlu dijadikan fokus utama pimpinannya.
Kurangkan serta elakkan sebarang bentuk rasuah dan salah laku guna kuasa dalam proses pembangunan negeri.
Tingkatkan darjah integriti, bukan sekadar dibibir tetapi jauh ke sudut hati sanubari di semua peringkat dan tahap sama ada kecil, sederhana dan besar.
Libatkan para akademik dan pensyarah universiti dalam proses membina dan memajukan negeri.
Masih ada ahli akademi yang jujur dan ikhlas ‘mewakaf’ idea dan buah fikiran dalam membina negeri. Masih ada ruang bagi Hajiji membina keyakinan rakyat, menarik sokongan serta mengelakkan ‘padah’ yang lebih besar. Jika dibiarkan, ‘kecelaruan dan ketidakpuasan’ berlarutan boleh menyebabkan keadaan semakin memburuk dan padah mendatang mungkin lebih besar.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.










