ALUMNI Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memandang serius perkembangan terkini berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh serta dilaksanakan secara konsisten, berhemah dan selaras dengan ketetapan perundangan serta sensitiviti masyarakat Malaysia. Ini termasuk :
Penguatkuasaan undang-undang
Sekiranya undang-undang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menangani isu ini secara tuntas, maka proses menggubal atau meminda undang-undang perlu dilaksanakan segera dan teratur.
Langkah ini penting bagi memperkukuh kerangka pencegahan, penyeliaan dan penguatkuasaan agar seiring dengan cabaran semasa.
Pada masa sama, kami menyokong usaha pihak berkuasa memperkemas pelaksanaan undang-undang sivil dan syariah secara profesional, berhemah dan tanpa prejudis. Penguatkuasaan yang konsisten, jelas dan berasaskan perlu bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat serta memastikan belia tidak terdedah kepada gaya hidup yang bercanggah dengan nilai budaya dan perundangan negara.
Pendidikan nilai
LGBT tidak wajar dilihat sebagai isu penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya isu pendidikan nilai dan pembentukan karakter. Elemen pendidikan jati diri, moral dan akhlak diperkukuh di sekolah serta IPT, di samping penekanan terhadap literasi digital selain kesihatan mental.
Kurikulum pembangunan karakter serta modul kepimpinan nilai juga perlu diperluas bagi memastikan belia mempunyai asas yang kukuh dalam menghadapi cabaran sosial semasa.
Belia memerlukan bimbingan yang menyeluruh, berasaskan fakta dan berpaksikan nilai bukan polemik atau retorik yang hanya menambah kekeliruan serta boleh menjejaskan proses pembinaan jati diri generasi muda.
Tolak normalisasi tingkah laku bertentangan
Malaysia mempunyai asas perundangan, prinsip moral dan kefahaman agama yang konsisten dalam menolak normalisasi LGBT. Platform akademik, media sosial dan aktiviti belia tidak wajar menjadi saluran promosi gaya hidup yang bercanggah dengan nilai negara.
Kebebasan individu tidak boleh diletakkan mengatasi kepentingan sosial lebih besar, khususnya apabila ia memberi implikasi kepada pembinaan identiti dan jati diri generasi muda.
Peranan media
Media arus perdana dan digital diseru untuk mengelakkan pemberitaan yang sensasi atau mengelirukan. Laporan berkaitan isu LGBT perlu disampaikan secara berfakta, beretika dan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.
Peranan media sangat besar dalam membentuk persepsi rakyat. Oleh itu, laporan yang diterbitkan mestilah jelas, tepat dan tidak menimbulkan kekeliruan, terutama dalam isu yang melibatkan nilai dan moral negara.
Pendekatan menyeluruh
Pendekatan menangani isu sosial memerlukan penglibatan pelbagai pihak. Keluarga berperanan menjadi institusi asas pembentukan sahsiah, IPT sebagai pusat pemantapan nilai generasi muda dan agensi agama sebagai panduan moral masyarakat.
Alumni MPPK komited menjadi suara dalam memelihara nilai negara dan menyokong usaha bersepadu bagi membendung salah faham serta penularan tingkah laku yang tidak selari dengan asas budaya Malaysia.
Malaysia memerlukan generasi muda yang teguh nilai dan jelas pedoman moral. Pendidikan nilai, kefahaman moral dan perlindungan belia daripada pengaruh yang bercanggah dengan budaya serta perundangan negara perlu menjadi keutamaan. Pendekatan berfakta dan berasaskan peraturan ialah asas kepada kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.-UTUSAN
MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar










