SUDAH sampai masanya penggunaan kamera badan (BCW) diwajibkan untuk semua anggota penguatkuasa tanpa mengira unit atau bahagian. Ini termasuklah semua pengawai polis, pegawai kastam, pegawai imigresen, badan penguatkuasa di semua kementerian, pihak penguatkuasa kerajaan tempatan (PBT) serta pihak penguatkuasa di jabatan agama Islam.
Penggunaan kamera badan diyakini dapat membendung aktiviti salah laku seperti penyalahgunaan kuasa atau rasuah.
Pada masa sama, dapat melindungi penguatkuasa itu sendiri daripada sebarang tuduhan yang dilontarkan kepada mereka daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Penggunaan video kamera sebagai bahan bukti dalam mahkamah tidak sepatutnya menjadi isu atau masalah besar kerana boleh menjadi bukti yang kuat bagi menyokong sesuatu hujah atau pertikaian di dalam proses perbicaraan kes mahkamah sama ada kes sivil ataupun kes jenayah.
Oleh yang demikian, kita juga boleh mengunakan mana–mana bahan bukti yang sesuai untuk membantu dan menyokong sesebuah proses perbicaraan kes mahkamah dan ini termasuklah video kamera.
Video kamera boleh menjadi bahan bukti yang kuat sekiranya memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan melalui undang – undang.
Jika dilihat dengan teliti juga, video kamera boleh dikategorikan sebagai salah sebuah bahan bukti dokumen. Jika dirujuk kepada Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 [Akta 56] juga, definisi dokumen itu sendiri adalah luas dan boleh meliputi juga video kamera.
Video kamera boleh diterima sebagai sebuah bukti dokumen sekiranya memenuhi syarat pengesahannya mengikut Seksyen 61 sehingga 66 Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Video kamera juga boleh diterima sebagai bukti berbentuk digital atau elektronik.
Bukti berbentuk digital atau elektronik juga boleh diterima dibawah Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Seksyen 90A, 90B and 90C Akta Keterangan 1950 [Akta 56] memberi kebenaran kepada mana–mana pihak untuk menggunakan bukti berbentuk digital atau elektronik yang juga lebih dikenali sebagai bukti yang dihasilkan atau dikeluarkan melalui komputer.
Penerimaan bahan bukti berbentuk digital atau elektronik juga sudah banyak kali diterima oleh pihak mahkamah.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










