Hoki dalam dewan sasar tebus kekecewaan

Hoki dalam dewan sasar tebus kekecewaan

BARISAN skuad hoki dalam dewan yang akan membawa cabaran Sukan SEA 2025 Thailand. - IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki dalam dewan negara bertekad untuk menebus kekecewaan sekali gus merampas gelaran juara pada Sukan SEA 2025 Thailand.

Pengurus pasukan hoki lelaki, Shurizan Mansor berkata, skuad kini berada pada fasa terakhir persiapan menjelang temasya dwitahunan itu.

“Pasukan sekarang berada dalam keadaan baik, semua berjalan seperti dirancang.

“Semua sudah kami rancang dengan teliti untuk setiap perlawanan, jadi kami akan turun dengan perancangan yang telah kami atur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai pencabar utama, Shurizan berkata, semua pasukan merupakan pencabar namun pemenang pingat emas edisi lepas, Indonesia dan juga tuan rumah, Thailand pastinya mempunyai kelebihan.

“Semua pasukan menjadi pencabar buat skuad Malaysia dan pastinya kelebihan ada pada pasukan Indonesia selaku pemenang pingat emas yang lalu.

“ Thailand juga antara pencabar utama kita pada edisi 2019. Jadi kami tidak mahu memandang rendah semua pasukan dan akan lalui cabaran setiap perlawanan,” ujarnya.

Menurutnya, pasukan kini dalam misi wajib menang bagi merebut pingat emas yang terlepas pada edisi lalu.

“Tetapi kami sedar ia sesuatu yang bukan mudah namun kami sudah bersedia dengan cabaran ini,” katanya.

Sebelum ini, skuad hoki dalam dewan negara membawa pulang pingat perak dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita setelah tewas 1-2 dalam penentuan shoot out kepada lawan masing-masing.

Pasukan lelaki terikat 3-3 dengan Indonesia dalam aksi penuh 40 minit manakala pasukan wanita terikat tanpa sebarang jaringan dengan Thailand.

Shurizan juga mengingatkan pemain supaya kekal positif, fokus dan tidak terlalu tertekan hingga hilang tumpuan.

“Pastikan semua pemain berada dalam ‘tournament mood’ kerana ia akan membuatkan pemain bersedia untuk segala halangan dan cabaran yang bakal dihadapi,” ujarnya.

Perlawanan dijangka bakal berlangsung pada 14 hingga 17 Disember untuk peringkat kumpulan dengan aksi menentang Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Saingan separuh akhir bagi kedua-dua kategori akan berlangsung pada 18 Disember, manakala pentas akhir dijadualkan pada 19 Disember untuk menentukan pemilik pingat emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×