Misi akhiri penantian 34 tahun bermula

Misi akhiri penantian 34 tahun bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Misi menamatkan penantian 34 tahun untuk membawa pulang pingat emas acara regu berpasukan sepak takraw bermula dengan Singapura menjadi lawan pertama, hari ini

Kali terakhir Malaysia meraih emas bagi acara adalah pada edisi 1991 Filipina, Manila dan lebih manis kejayaan itu dilakar ketika ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berada dalam pasukan berkenaan selaku tekong.

Kini, selepas lebih tiga dekad, tanggungjawab besar itu digalas oleh tekong utama negara, seperti Haziq Hairul Nizam, Muhammad Syahir Rosdi, Zulkifli Abdul Razak dan Zarif Marican Ibrahim Marican.

Menurut Haziq, skuad negara telah melakukan persiapan rapi dan percaya gandingan empat regu yang dibawa ke Thailand mampu memberi tentangan hebat kepada pasukan tuan rumah.

“Kami rakan sepasukan sudah melakukan persiapan lama dan semua bersemangat untuk ke Sukan SEA kali ini. Biarpun percaturan regu terletak di tangan jurulatih, secara peribadi saya lebih selesa jika digandingkan Zuleffendi Sumari dan Hafizul Hayazi Adnan.

“Kami sudah bermain bersama sejak 2021 bermula di pentas STL (Liga Sepak Takraw). Keserasian itu sudah ada dan saya amat yakin mampu membuahkan keputusan positif,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran beraksi di kandang ‘Gajah Perang’, Haziq yang membuat penampilan ketiga di Sukan SEA selepas edisi Hanoi dan Kemboja mengakui faktor penyokong tuan rumah Thailand dan mutu pengadilan sering menjadi kelebihan buat lawan.

Namun, jelasnya, kem latihan pusat ala ketenteraan yang dijalani skuad negara bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini telah mempersiapkan pemain dengan ketahanan mental tahap tertinggi.

“Jika berdepan Thailand di final, sebenarnya saya tidak takut, cuma kelebihan mereka adalah beraksi sebagai tuan rumah. Faktor pengadil dan sorakan penyokong itu beri sedikit kelebihan buat mereka.

“Sebab itu program bersama pasukan ATM amat penting. Walaupun singkat, ia menguji disiplin dan mental kami. Kami perlu kuatkan mental dan anggap suasana di sana nanti sama seperti beraksi di laman sendiri.

“Apapun, saya tidak mahu melakukan kesilapan kecil sekali pun kerana ia mampu mengubah rentak dan memberi kelebihan Thailand mendapat mata mudah,” tegasnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan berdepan Singapura pada perlawanan pembukaan dan seterusnya akan menentang Filipina esok sebelum menamatkan peringkat kumpulan bertemu Myanmar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×