Setahun ‘bebas’ daripada Assad, rakyat Syria masih hidup daif

Setahun ‘bebas’ daripada Assad, rakyat Syria masih hidup daif

RAKYAT Syria meraikan genap setahun kejatuhan rejin Bashar al-Assad di Damsyik. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Genap setahun sejak tumbangnya rejim Bashar Assad, rakyat Syria masih bergelut memulihkan kehidupan masing-masing selepas lima dekad pemerintahan represif dan 14 tahun perang saudara yang meragut lebih setengah juta nyawa serta memaksa jutaan meninggalkan tanah air.

Bagi bekas tahanan seperti Mohammad Marwan, kejatuhan Assad membawa kebebasan, namun luka fizikal dan trauma akibat penyeksaan masih menghantuinya.

Marwan yang ditahan sejak 2018 kerana melarikan diri daripada perkhidmatan tentera, dibebaskan apabila kumpulan pemberontak membuka penjara Saydnaya semasa mara ke Damsyik pada Disember tahun lalu.

Selepas pulang ke kampungnya di Homs, Marwan berdepan kesukaran bernafas akibat tuberkulosis (TB) serta keresahan melampau, namun keadaannya semakin pulih selepas menjalani rawatan dan terapi.

Negara itu secara keseluruhannya turut berusaha bangkit selepas kejatuhan mengejut rejim Assad pada 8 Disember 2024. Pemberontak yang diketuai Hayat Tahrir al-Sham (HTS) melancarkan serangan di Aleppo bagi menghalang serangan balas rejim, namun tidak me­nyangka tentera Syria lumpuh dengan cepat.

Sejak menguasai negara itu, presiden interim Ahmad al-Sharaa melancarkan usaha diplomatik luas hingga berjaya memulihkan hubungan dengan negara Barat dan Arab.

Pencapaian paling bersejarah ialah lawatannya ke Washington, yang pertama oleh mana-mana pemimpin Syria sejak kemerdekaan pada 1946. Namun kejayaan luar itu dibayangi krisis dalaman termasuk keganasan sektarian yang mengorbankan ratusan masyarakat minoriti Alawite dan Druze.

Ketegangan juga terus berlaku antara kerajaan baharu di Damsyik dan pasukan Kurdi di timur laut, walaupun perjanjian penyatuan dicapai pada Mac lalu.

Israel pula berwaspada terhadap kerajaan baharu Syria berteraskan Islamis selain terus meningkatkan serangan udara dan memperluas kawalan di kawasan zon selatan, manakala rundingan keselamatan masih buntu.

Ekonomi Syria kekal lembap meskipun kebanyakan sekatan Barat sudah ditarik balik manakala janji pelaburan negara Teluk masih belum diterjemahkan kepada projek sebenar, dengan Bank Dunia menganggarkan kos pemulihan semula infrastruktur rosak mencecah AS$216 bilion (RM890 bilion).

Di banyak kawasan, pembinaan semula dijalankan sendiri oleh penduduk tanpa sokongan kerajaan, termasuk di kem Yarmouk yang musnah sebelum ditinggalkan sejak 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×