Usia 19 tahun disahkan AIDS

Usia 19 tahun disahkan AIDS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA 19 tahun sepatutnya menjadi permulaan untuk mengejar impian tetapi segalanya musnah sekelip mata apabila pemuda ini disahkan AIDS.

Ketakutan, kesedihan dan kekeliruan menghimpit jiwa Ahmad, 28 (bukan nama sebenar), tanpa henti.

Apatah lagi, dalam situasinya yang berjauhan dengan keluarga kerana menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Negeri Sembilan.

Kata anak jati Selangor ini, penyakit itu sudah dijangka kerana penglibatannya dalam aktiviti seks dengan lelaki (MSM) dan bertukar-tukar pasangan.

“Hati saya berkecamuk, sedih dan buntu, tidak tahu ke mana harus menyalurkan rasa marah atau siapa yang patut dipersalahkan, kerana semua ini berpunca daripada pilihan sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Simptom awal yang dialaminya pada 2015 ialah demam berulang selama sebulan hingga berat badan menyusut diikuti beberapa masalah kesihatan lain.

Tidak tahan dengan keadaan itu, dia kemudian ke hospital dan dirawat selama beberapa hari.

Walaupun doktor menyarankan ujian saringan HIV, dia enggan kerana bimbang rahsianya terbongkar di hadapan keluarga yang menemani di wad.

“Pada masa itu, saya sudah mula syak tentang kemungkinan menghidap HIV/AIDS tetapi saya cuba menafikannya.

“Namun, panas tidak sampai ke petang apabila saya sekali lagi ditimpa sakit yang lebih teruk, termasuk tonsil bengkak dan ruam di badan,” katanya.

Selepas menjalani ujian saringan, doktor mengesahkan dirinya positif HIV/AIDS.

Landskap penularan HIV/AIDS di Malaysia menunjukkan perubahan ketara apabila transmisi melalui hubungan seksual kini menjadi punca utama jangkitan.

Kajian pada 2024 mendapati sebanyak 96 peratus punca jangkitannya adalah melalui seksual diikuti 64 peratus melibatkan hubungan sejenis (homoseksual dan biseksual) manakala 32 peratus lagi berlaku secara heteroseksual.

Majoritinya adalah dalam kalangan lelaki iaitu 90 peratus berbanding wanita hanya 10 peratus.

Bangkit teruskan hidup
Dua minggu selepas didiagnosis, Ahmad memutuskan untuk memulakan rawatan antiretroviral (ART) di klinik kesihatan terdekat.

Tekad itu lahir daripada keinginannya untuk meneruskan kehidupan meskipun diuji dengan penyakit menakutkan.

Kini, sudah sembilan tahun dia bergelar orang yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA) dan berstatus beban virus tidak dapat dikesan (UVL).

Ini bermakna dia tidak berisiko menularkan jangkitan itu kepada orang lain.

Perkembangan tersebut hasil rawatan konsisten dan rutin penjagaan kesihatan yang ketat.

“Kalau diimbas semula, saya sendiri tidak sangka mampu sekuat ini. Bayangkan, pada usia 19 tahun, saya menguruskan proses rawatan dan berulang-alik ke klinik kesihatan seorang diri tanpa pengetahuan keluarga atau kawan-kawan.

“Penat, sedih dan susah itu memang ada, tetapi saya gagahkan diri kerana tidak mahu hidup berakhir dengan sia-sia.

“Saya ada banyak impian yang mahu dicapai termasuk untuk berbakti kepada masyarakat dan menghapuskan stigma terhadap komuniti kami,” katanya.

Selain memegang kedudukan tinggi dalam sektor korporat, dia juga bakal menamatkan pengajian sarjana dengan topik kajiannya berkaitan advokasi untuk ODHA.

 

Kepentingan ujian saringan
Ahmad turut menasihati golongan berisiko untuk melakukan ujian saringan HIV sebagai langkah pengesanan awal.

Ia penting dalam memastikan rawatan dapat dimulakan segera, sekali gus mengelakkan keadaan kesihatan bertambah buruk.

Dalam masa sama, ia dapat memutuskan rantaian penularan.

“Kadang-kadang kita terlalu takut untuk mendapatkan bantuan kerana enggan dinilai atau dihakimi masyarakat.

“Hakikatnya, lebih cepat kita tahu status, lebih besar peluang untuk menguruskan kesihatan dengan baik,” katanya.

Ujarnya lagi, semasa fasa virus terlalu banyak dalam badan, dia mudah sakit termasuk kalau tersentuh benda kotor atau makan di warung yang kurang bersih

Dalam perkembangan sama, dia meminta masyarakat agar menghentikan prejudis dan melabel golongan sepertinya sampah masyarakat.

Katanya, stigma itu ‘membunuh’ harapan mereka untuk terus hidup.

“Saya faham punca HIV sering dikaitkan dengan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bertentangan agama.

“Tetapi itu bukan alasan untuk melabel kami sampah masyarakat dan hanya layak mati,” katanya.

Cemerlang akademik walau HIV
Sementara itu, seorang penuntut IPT di Selangor, Jimmy, 26, sudah tiga tahun menjadi ODHA.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini menerima jangkitan tersebut daripada pasangan sejenisnya.

“Saya terpanggil untuk membuat ujian saringan HIV pada 2023 kerana sedar terdedah kepada risiko.

“Namun, sejak awal dikesan hingga kini, saya tidak pernah mengalami apa-apa masalah kesihatan seperti demam dan lain-lain,” katanya yang juga pejuang major depressive disorder (MDD).

Keadaan dirinya yang nampak sihat menyebabkan keluarga langsung tidak dapat menghidu status sebenarnya.

Walaupun keluarga kerap melihatnya mengambil ubat-ubatan, pelajar cemerlang ini berselindung dengan mengatakan ia sekadar suplemen.

Katanya, hanya segelintir rakan rapat yang mengetahui status kesihatannya dan tidak berhasrat untuk berterus-terang dengan keluarga.

Baginya, biarlah sisi gelapnya itu kekal menjadi rahsia demi tidak mahu memalukan maruah insan tersayang.

Menceritakan penglibatannya dalam gaya hidup sosial itu, katanya, ia bermula sejak di zaman sekolah menengah lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×