BANGKOK: Menumbangkan Thailand di laman sendiri menjadi misi utama skuad sepak takraw negara di Sukan SEA 2025 dengan sasaran realistik meraih dua emas dalam acara regu dan quadran.
Nampak sukar, namun kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam yakin skuad kebangsaan mampu melakar sejarah menumbangkan tuan rumah di hadapan ribuan penyokong mereka.
Menurut Farhan, sasaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak memberi tekanan, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat pemain menamatkan dominasi Gajah Perang.
“Kami sudah melakukan persiapan rapi dan keyakinan itu sentiasa ada. Sebagai kapten, saya anggap ini satu tugasan berat, tetapi kami sedia menggalas tanggungjawab ini. Insya-Allah, kami akan realisasikan misi dua emas.
“Bermain di bumi Thailand buat pemain memasang impian lebih besar. Kami memang mengidamkan emas dengan mengalahkan Thailand. Jika berjaya, ia bukan sekadar kemenangan individu, tetapi sejarah besar buat sepak takraw Malaysia,” katanya.
Farhan turut melihat acara regu berpasukan merupakan kubu kuat Thailand, namun melihat cabaran itu sebagai peluang terbaik untuk merentap ego tuan rumah dan mencipta momentum awal sebelum memberi tumpuan dalam acara regu.
“Jika kita berjaya menang emas dalam acara berpasukan, insya-Allah acara seterusnya pun kita mampu kuasai,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama memuji kekuatan dan keseimbangan skuad negara kali ini, selain menyifatkan percaturan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun kali ini mampu membuahkan hasil.
“Regu yang ada bukan sekadar regu satu, dua atau tiga. Pemain simpanan pun kuat. Siapa sahaja diturunkan, saya yakin mereka akan beri aksi terbaik,” tambahnya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A acara regu berpasukan dan akan membuka tirai menentang Singapura pada 10 Disember di Stadium Gymnasium Nakhon Pathom, sebelum bertemu Filipina keesokan hari dan Myanmar pada Jumaat.
Dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir pada 13 Disember, dengan final dijadual berlangsung pada Ahad. – UTUSAN










