SELAYANG: Operasi besar-besaran telah dijalankan di kawasan ‘hotspot’ pendatang asing tanpa izin (PATI) di Selayang semalam, menyaksikan 843 individu disyaki PATI termasuk 35 wanita ditahan.
Operasi bermula pukul 8 malam itu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor yang diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pihak berkuasa tempatan.
Menurut Amirudin, seramai 1,116 individu diperiksa, dengan pecahan tangkapan termasuk warga Myanmar (647), Nepal (102), Bangladesh (79), Indonesia (15) dan India (10).
“Mereka berusia antara 21 hingga 53 tahun disyaki melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta memegang kad pengenalan tidak sah,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini.
Turut hadir pada operasi ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dan Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin. Amirudin berkata operasi susulan dilakukan selepas menerima aduan masyarakat berhubung lambakan warga asing dan aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Tambahnya, serbuan susulan aduan awam yang resah dengan lambakan warga asing serta aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Jelasnya, operasi ini merupakan ingatan tegas kepada semua, termasuk warga tempatan yang menggajikan PATI supaya mematuhi undang-undang.
“Kita juga melaksanakan beberapa operasi bersepadu sebelum ini seperti di Seri Muda, Pasar Borong Selangor dan lokasi lain,” katanya.
Mengenai faktor kos sewa yang dikatakan menarik warga asing tinggal di Selayang Baru, Amirudin berkata ia lebih berpandukan permintaan dan penawaran kerana lokasi berkenaan hanya 20 minit dari Kuala Lumpur.
“Operasi bersepadu juga sering dilaksanakan sebelum ini dan telah memberi kesan positif kepada masyarakat.
“Operasi Bersepadu ini akan diteruskan secara kesinambungan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan untuk tidak melindungi PATI kerana tindakan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang- undang. – UTUSAN










