PETALING JAYA: Perniagaan dengan pendapatan tahunan bawah RM1 juta dikecualikan daripada e-invois bermula 1 Januari depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri semalam.
“Semalam, dalam mesyuarat Jemaah Menteri sudah putus pada peringkat awal iaitu ambang setakat ini jumlah RM500,000 itu dibatalkan dan dinaikan RM1 juta minimum,” katanya berucap di Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Pada Jun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan Kementerian Kewangan memutuskan pelaksanaan e-invois syarikat memperoleh pendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta akan ditangguhkan ke 1 Januari 2026 daripada tarikh sebelumnya iaitu 1 Julai 2025.
Pelaksanaan bagi syarikat dengan pendapatan tahunan sehingga RM1 juta yang dibatalkan sebelum ini dijadualkan ditunda ke 1 Julai 2026.
Penasihat DAP yang juga bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, prestasi buruk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 mungkin terkait penolakan pengundi Cina terhadap dasar tertentu seperti perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-invois serta kelewatan dalam bayaran balik cukai.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kadar kemajuan semua projek bekalan air, elektrik dan jalan raya akan dipantau setiap bulan bermula 1 Januari ini bagi mengelakkan kelewatan. – UTUSAN










