PETALING JAYA: Isteri Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berkongsikan hantaran terakhir di media sosial selepas dikejutkan dengan berita pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Zizie, 47, meluahkan sisi peribadi Allahyarham Bung Moktar yang murni dan jarang diketahui umum.
“Mereka mungkin tidak tahu hatinya, tetapi saya tahu. Selama 16 tahun saya menyaksikan kebaikannya, kemurahan hatinya, dan kasih sayangnya terhadap orang ramai. Tolong doakan dia,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Hantaran tersebut turut disertai video kenangan Allahyarham bersama anak-anak mereka sekali gus menggambarkan hubungan keluarga yang hangat dan penuh kasih sayang.
Zizie dan Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009 dan sejak itu hubungan mereka dipenuhi memori serta sokongan antara satu sama lain.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.46 pagi semalam di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita sedih pemergian dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar melalui hantaran di Facebook.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi kelmarin.
Allahyarham Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Sabah pada pukul 2.25 petang semalam.
Sebelum itu, van membawa jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan itu tiba di tanah perkuburan pada 1.45 tengah hari dan disambut oleh orang ramai daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dalam suasana hiba.
Orang ramai yang hadir turut membantu dalam urusan pengebumian termasuk mengangkat jenazah, menyediakan tapak perkuburan dan melakukan kerja-kerja tanah. – UTUSAN








