Kakak ipar kawal rumah tangga adik

Kakak ipar kawal rumah tangga adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua hati, tetapi dua keluarga yang berbeza latar belakang.

Untuk mencapai kebahagiaan dan keharmonian, pasangan perlu saling memahami, menyesuaikan diri dan bijak menjaga hubungan antara keluarga masing-masing.

Jika sebaliknya akan wujud konflik dan salah faham.

Minggu ini saya kongsikan kisah seorang isteri yang pernah berdepan dengan kakak ipar yang suka mencampuri rumah tangga adik lelakinya.

Dalam pertemuan diatur baru-baru ini, Fiqah (bukan nama sebenar) tidak berniat untuk membuka aib keluarga suaminya.

Sejak mula berkahwin, dia sedar perkahwinan itu bukan tentang dirinya dan suami, Zaki (bukan nama sebenar) sahaja, tetapi juga membawa dirinya masuk ke dalam sebuah keluarga yang agak rumit.

Dia tahu kakak iparnya, Kak Long atau Imah (bukan nama sebenar) pernah menjadi tempat bergantung suaminya selepas kematian ibu bapa.

Setiap kali Kak Long campur tangan dalam rumah tangga mereka, dari hal kecil seperti pengurusan rumah tangga hingga ke peribadi, Fiqah hanya menahan sabar dan cuba memahami.

“Saya tahu besar jasa Kak Long kepada suami, sebab itu, walaupun hati terluka, saya tidak menjawab dan hanya menangis sendirian,” ujarnya.

Memulakan cerita, kata Fiqah, sejak hari pertama dirinya diperkenalkan kepada keluarga suami, dia dapat merasa Kak Long tidak merestui hubungan mereka.

Namun jodoh mereka kuat, setelah beberapa halangan, akhirnya mereka disatukan sebagai suami isteri.

Kata Fiqah, suaminya merupakan anak tunggal lelaki dan memiliki empat kakak yang sejak kecil menjaga dan memanjakannya.

Suami kehilangan kedua ibu bapa ketikanya usianya memasuki 15 tahun.

Dalam keadaan masih tercari-cari hala tuju dalam kehidupan, dia dibesarkan oleh kakak sulungnya, Kak Long .

Kak Long seorang wanita yang tegas dan memikul tanggungjawab sebagai penjaga, ibu dan bapa kepada tiga lagi adik termasuk Zaki.

Kak Long sangat menyayangi Zaki, baginya lelaki itu bukan sekadar adik bongsu, tetapi amanah terakhir arwah ibu dan bapa.

Segala perkara berkaitan Zaki mahu dicampuri, daripada cara berpakaian, dengan siapa berkawan sehingga bidang pilihan semasa mahu melanjutkan pelajaran ke universiti.

Bertahun-tahun Zaki mengikut sahaja kehendak Kak Long, namun semuanya berubah selepas bertemu Fiqah.

Meneruskan cerita, kata Fiqah, selepas mendirikan rumah tangga, ujian mereka bermula dan lebih mencabar.

Mulanya dia menyangka Kak Long akan perlahan-lahan menerima kenyataan adik lelakinya sudah bergelar suami.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kak Long tidak berundur, malah langkahnya makin kuat.

“Kak Long mula merancang sesuatu untuk memisahkan kami. Dia cuba pelbagai cara untuk menarik lebih perhatian daripada Zaki.

“Tanpa mengira waktu, Kak Long menghubungi Zaki dengan lebih kerap dan mendesak untuk pulang, alasannya rindu dan kesunyian .

“Setiap kali Zaki menolak lembut, Kak Long mula mengungkit susah payah menjaga dan membesarkannya selepas ibu bapa mereka meninggal dunia,” cerita Fiqah.

Kata Fiqah, Kak Long jarang menunjukkan wajah tidak suka secara jelas tetapi dia tahu, kata-katanya penuh dengan sindiran.

Kak Long menganggap Fiqah merampas adiknya yang selama ini bergantung kepadanya. Hari berganti hari, Fiqah terus bersabar.

“Suami fikir saya akan faham, tetapi dia lupa saya juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan,” ujarnya.

Selepas dua tahun melayari rumah tangga dengan campur tangan Kak Long, satu anugerah besar hadir dalam hidup mereka.

Kelahiran anak sulung mereka, Sham (bukan nama sebenar) membuka mata Zaki kepada sesuatu yang selama ini dia terlepas pandang.

Zaki menyedari dia kini ada tanggungjawab lebih besar kepada isteri dan anak.

Lantas dia mula berubah, sikap penyayangnya kepada Fiqah bertambah dan setiap keputusan lebih berpihak kepada keluarga kecil mereka.

Menurut Fiqah lagi, suami juga sudah pandai menolak permintaan Kak Long.

Konflik antara Fiqah dan Kak Long tidak berakhir di situ.

Perubahan Zaki membuatkan Kak Long tidak senang duduk seolah-olah kedudukannya sebagai wanita paling penting dalam hidup adiknya mula goyah.

Walaupun diasak, disindir dan dipandang serong, Fiqah tetap bersabar.

Dia bertahan kerana Zaki masih menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

Pertengahan Januari depan, mereka bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-26.

“Saya bersyukur di sebalik ujian, kami mampu melaluinya, walaupun bukan mudah, namun berkat kesabaran dan kasih sayang, rumah tangga kami bertahan sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Selama 26 tahun, Allah mengurniakan mereka tiga anak lelaki, Sham, Nabil dan Danish (bukan nama sebenar) masing-masing berusia 24, 22 dan 19 tahun.

Setiap kelahiran, membawa sinar baru dan mengubah Zaki menjadi lelaki yang semakin matang dan memahami erti tanggungjawab.

Kata Fiqah, gangguan daripada Kak Long masih ada, namun tidak seperti sebelumnya.

“Kadang kala dengan kata-kata sinis, permintaan yang tidak kena tempat dan ada kalanya mengungkit jasa lama.

“Bezanya kini saya lebih bertahan, Zaki juga tidak mudah untuk dipengaruhi. Kami tetap menghormati dan tidak sesekali memutuskan hubungan silaturahim dengannya.

“Cuma kami memilih untuk menjauhkan diri secara perlahan demi menjaga keharmonian keluarga kecil kami,” ujarnya.

Sesungguhnya kepentingan untuk menjaga silaturahim tercatat dalam al-Quran dan hadis.

Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×