REVOLUSI teknologi membawa perubahan besar kepada cara hidup dan pemikiran masyarakat, baik di peringkat global mahupun di Malaysia.
Sebagai negara membangun, kita tidak terlepas daripada arus perubahan digital yang berlaku saban hari. Namun, dalam mengejar kemajuan, kita turut melalui proses yang secara perlahan-lahan menghakis tradisi, termasuk permainan warisan yang pernah menjadi nadi kehidupan masyarakat.
Permainan seperti congkak, teng-teng, galah panjang, batu seremban, gasing, konda kondi, tarik upeh, baling selipar, main guli, tapak gajah dan main puteri suatu ketika dahulu menghidupkan suasana petang di kampung, estet dan kawasan perumahan lama.
Riuh rendah kanak-kanak bermain sehingga senja menjadi memori indah yang kini semakin hilang. Dalam era digital hari ini, timbul persoalan, adakah kita sedang menjadi mangsa penjajahan teknologi moden? Sanggupkah kita melihat permainan tradisional hanya tinggal dalam carian Google atau Wikipedia?
Antara yang terkenal dan menjadi pilihan ialah congkak. Ia merupakan permainan papan kayu dengan biji-bijian (guli) kecil, bukan sekadar hiburan sebaliknya dalam masa sama mampu melatih minda, merencana strategi dan membuat keputusan tepat.
Setiap langkah memerlukan perancangan dan kemampuan membaca tindakan lawan. Sayangnya, permainan bernilai intelektual ini semakin jarang dimainkan, digantikan permainan digital yang pasif dan kurang merangsang interaksi sosial.
Permainan gasing pula pernah menjadi kebanggaan masyarakat kampung. Bunyi dengungan gasing yang berpusing menjadi irama petang yang menghidupkan suasana desa. Ada kampung menganjurkan pertandingan gasing pangkah atau gasing uri sebagai acara tahunan. Kini, gelanggang gasing banyak terbiar dan generasi muda lebih memilih skrin telefon berbanding permainan fizikal yang memerlukan kemahiran.
Manakala chapteh atau sepak bulu ayam, yang dibina daripada bulu ayam, getah dan paku, menuntut fokus dan ketangkasan. Ia menguatkan koordinasi dan meningkatkan kecergasan. Namun permainan yang dahulu popular di sekolah dan kampung ini semakin kurang dikenali oleh kanak-kanak moden.
Permainan wau pula melambangkan kreativiti masyarakat Melayu tetapi turut dimainkan oleh semua kaum. Apabila musim angin tiba, kanak-kanak Melayu, Cina dan India sama-sama menerbangkan layang-layang, membina perpaduan melalui permainan. Namun, kawasan lapang semakin berkurangan akibat pembangunan, dan minat generasi muda semakin pudar.
Sementara permainan seperti galah panjang, ketinting dan baling selipar, yang dahulunya menguji ketangkasan dan menggalakkan kerjasama berpasukan, kini semakin jarang dimainkan. Padang sekolah yang suatu ketika dahulu meriah kini sunyi tanpa jeritan riang kanak-kanak.
Dominasi dunia digital
Kemerosotan permainan tradisional berkait rapat dengan perkembangan teknologi. Permainan mudah alih menawarkan grafik menarik, animasi realistik dan sistem ganjaran yang membuatkan pemain ketagih. Tambahan pula, ia boleh dimainkan tanpa memerlukan rakan atau ruang fizikal. Hal ini berbeza daripada permainan tradisional yang memerlukan interaksi bersemuka dan ruang lapang.
Kesibukan ibu bapa turut menyumbang kepada perubahan ini. Kekangan masa kerja menyebabkan mereka memilih penyelesaian mudah dengan memberikan telefon pintar kepada anak sebagai hiburan segera. Tanpa pendedahan sejak kecil, permainan tradisional sukar bertahan.
Selain itu, program memartabatkan permainan tradisional di sekolah atau komuniti masih bersifat bermusim dan tidak menyeluruh. Tanpa usaha bersepadu, generasi muda tidak melihat permainan ini sebagai sesuatu yang relevan atau menarik.
Tanggungjawab bersama menghidupkan warisan
Untuk memberi nafas baharu kepada permainan tradisional, pendedahan perlu dilakukan secara besar-besaran. Generasi Z (Gen Z) perlu didedahkan kepada sejarah, teknik dan nilai permainan warisan ini. Bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta.’ Jika mereka memahami keunikan dan nilai seni dalam permainan tradisional, pasti timbul minat untuk mempelajarinya.
Pun begitu, segalanya bermula di rumah. Ibu bapa perlu menjadi ejen warisan budaya dan memperkenalkan permainan tradisional sebagai aktiviti keluarga.
Bermain congkak atau batu seremban bersama anak-anak bukan sahaja mengeratkan hubungan tetapi dalam masa sama dapat memupuk kecintaan terhadap budaya sendiri.
Sementara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pendidikan perlu menggubal program sistematik jangka panjang. Aktiviti permainan tradisional wajar diperluas ke seluruh negara, termasuk kawasan bandar, pedalaman, perkampungan Orang Asli, rumah panjang dan pangsapuri.
Pemimpin tempatan pula boleh menjadi penghubung antara program dan masyarakat setempat.
Identiti dan jati diri bangsa
Permainan tradisional bukan sekadar hiburan lampau sebaliknya menyimpan nilai sejarah, identiti budaya, kemahiran motor, kecerdasan minda dan kearifan tempatan. Ia membentuk sahsiah, menggalakkan interaksi sosial dan membina perpaduan.
Walaupun ditelan arus kemodenan, permainan tradisional tetap relevan dan wajar dipertahankan keranas merupakan warisan yang tidak boleh dibeli dan tidak wajar dilupakan.
Kini tibalah masanya masyarakat, sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa berganding bahu menghidupkan kembali permainan tradisional. Jika usaha diperkukuh secara serius dan berterusan, tidak mustahil permainan tradisional dapat kembali bersinar, mengisi ruang kehidupan generasi baharu dan terus diwarisi oleh generasi mendatang.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kolej Matrikulasi Pahang.










