SETIAP malam Ahad, Selangor FM menjadi teman setia bagi peminat muzik melalui program popular Kolly Bolly yang dibawakan oleh Abang Joe.
Cara dan kecekapan beliau menyebut tajuk-tajuk lagu Tamil mempersonakan hati pendengar, menjadikan setiap siaran lebih dekat dengan jiwa peminat.
Lagu-lagu seperti April Penne Nee Yaaro, Thene Mane dan Mr. Kandasamy Saukiama bukan sekadar diperdengarkan tetapi disampaikan dengan penuh penghayatan yang menyentuh emosi.
Abang Joe bukan sahaja penyampai radio tetapi insan seni yang bersuara dari sukma. Dengan semangat yang tidak pernah luntur, beliau berjaya membawa nostalgia malam Ahad kepada pendengar, terutamanya mereka yang pulang ke rumah selepas penat tugasan harian.
Melalui muzik, lagu dan nyanyian, Selangor FM menjadi medium yang menyatukan hati semua, menunjukkan keprihatinan stesen terhadap keinginan pendengar.
Peminat juga tidak ketinggalan menyuarakan permintaan. Mereka merayu agar Abang Joe menyiarkan beberapa lagu Tamil dan Hindi yang ikonik. Antaranya adalah lagu-lagu daripada filem Tamil Yaar Nee, lakonan ‘Ketua Menteri’ Tamil Nadu, Madam Jayalitha dan ‘James Bond’ Tamil Nadu, Jayasangkar.
Pemilihan lagu jelas tepat untuk memuaskan peminat yang mengharapkan siaran yang membawa kenangan dan nostalgia.
Melodi serta susunan lagu-lagu ini bukan sahaja menyerikan malam Ahad tetapi juga mengekalkan Selangor FM sebagai stesen pilihan utama bagi pendengar yang menghargai muzik berkualiti dan penghayatan yang mendalam.
Dengan keprihatinan terhadap perasaan dan kemahuan pendengar, Selangor FM dan Abang Joe terus membuktikan muzik adalah bahasa universal yang mampu menyatukan semua hati, tanpa mengira latar belakang.-UTUSAN
PERUJI PERUMAL
Penolong Pengarang Malaysia Nanban










