Dinamika Sabah tidak memantulkan politik nasional

Dinamika Sabah tidak memantulkan politik nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung minggu lalu memperlihatkan suasana politik semasa negeri itu yang begitu dinamik.

Bermula dengan bilangan calon yang tinggi berentap untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, termasuk 74 orang calon bebas, berakhir dengan lebih 65 peratus daripada mereka kehilangan wang deposit.

Kita menyaksikan beberapa nama besar politik negara seperti Datuk Seri Anifah Aman, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee kalah dalam PRN ini, bersama-sama ramai calon yang mewakili parti-parti nasional dan parti-parti kecil Sabah.

Seramai 389 orang calon hilang wang deposit akibat gagal mendapat lebih satu per lapan undi di kawasan masing-masing. Ini termasuklah presiden kepada dua buah parti Sabah iaitu Parti Impian Sabah (PIS), Michel Alok dan Parti Rumpun Sabah (Rumpun), Datuk Dr. Ismail Idris.

Dalam pertandingan sembilan penjuru di DUN Telupid, Michel hanya berjaya memperoleh 291 undi, iaitu sekitar 2.83 peratus. Kerusi ini dimenangi Datuk Jonnybone Kurum daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya mendapat 3,868 undi.

Di DUN Sebatik pula, Ismail hanya memperoleh 41 undi atau 0.39 peratus berbanding calon Parti Warisan (Warisan), Manahing Tinggilani@Tanggilani yang berjaya memperoleh 2,795 undi dan seterusnya memenangi kerusi berkenaan.

Sememangnya kemenangan besar GRS dan Warisan yang berjaya mendominasi kerusi DUN Sabah sudah dapat diramalkan sejak awal lagi.

Pada masa sama, kita juga sudah menjangkakan biarpun berjaya menang besar, namun tiada parti yang akan dapat membentuk kerajaan secara sedirian tanpa bergabung dengan parti lain.

Hal inilah yang saya nyatakan apabila ditanya oleh rakan-rakan di universiti, khasnya kawan-kawan daripada Sabah dan Sarawak ketika kami berbincang sebelum berlangsungnya PRN ini.

Saya turut melihat sentimen yang semakin kuat untuk menolak parti-parti nasional yang dilabel sebagai ‘parti Semenanjung’. Gelombang sokongan ini cenderung memihak kepada parti-parti tempatan, khususnya GRS dan Warisan, berbanding parti Sabah lain.

Benar sekali, sebagai contoh mudah, PIS dan Rumpun gagal mendapat manfaat daripada sentimen tersebut dengan calon daripada kedua-dua parti ini turut ditolak pengundi sehingga gagal memenangi mana-mana kerusi yang mereka tandingi.

Lebih buruk lagi, PIS turut kehilangan deposit di kesemua 72 kerusi yang mereka tandingi dan begitu juga dengan Rumpun apabila ketujuh-tujuh calonnya juga hilang deposit.

Adakah suara 64.35 peratus atau seramai 1,148,476 orang rakyat Sabah yang keluar mengundi dalam PRN Sabah ini mencerminkan arah sokongan pengundi Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti?

 

DINAMIKA politik Sabah memiliki corak tersendiri dipengaruhi faktor kenegerian, personaliti pemimpin tempatan dan keunikan struktur parti-parti negeri.

TIDAK STATIK

Saya melihat dalam suasana politik semasa tanah air yang begitu dinamik, pilihan pengundi tidak semestinya statik. Ini bermakna sentimen rakyat boleh berubah-ubah.

Hal ini juga bergantung kepada keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan baharu Sabah dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Sementara pengundi putih sesebuah parti akan tetap setia kepada parti masing-masing. Sementara mungkin ada dalam kalangan pengundi atas pagar lebih cenderung memilih parti yang mereka yakin boleh membentuk kerajaan persekutuan.

Dalam situasi sebegini, sentimen memilih parti kenegerian semata-mata tidak lagi menjamin pilihan pengundi.

Adakah ini membuktikan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) turut akan ditolak di Semenanjung? Sudah tentunya tidak kerana inilah parti-parti yang dominan di sana.

Malah, parti Warisan yang cuba memasuki politik Semenanjung juga gagal memenangi apa-apa kerusi ketika bertanding dalam PRN Johor dahulu.

Jelas sekali suasana politik di Sabah tidak boleh dibanding dengan keseluruhan Malaysia secara begitu mudah.

Jika rakyat di semenanjung menolak semua parti-parti nasional, maka parti manakah yang akan mereka undi dalam PRU16 nanti? Takkanlah semua pengundi hanya akan memilih calon Bebas?

Hanya kerana sesuatu berlaku di satu negeri, tidak bermakna seluruh negara akan mengalami keadaan yang sama. Situasinya seumpama PN yang menguasai sepenuhnya DUN Terengganu, namun hanya memegang 67 daripada 222 kerusi di Parlimen.

Saya melihat ulasan dan kempen politik sebegini bukan sahaja tidak munasabah, malah boleh merosakkan usaha penyepaduan rakyat di antara Borneo dan semenanjung Malaysia oleh kerajaan pusat selama ini, apatah lagi jika sentimen ini dibiarkan membara secara berlarutan.

Oleh itu, rakyat harus berhati-hati agar tidak hanyut dalam permainan sentimen keterlaluan oleh parti-parti politik demi mendapatkan undi dan kuasa.

Yang jelas, politik Sabah sudah memasuki fasa baharu. Seperti biasa, Sabah terus mengajar kita satu perkara yang mana politiknya sentiasa hidup, sentiasa berubah dan sentiasa memberi kejutan.

Sepanjang musim PRN, kita dapat melihat bagaimana masa hadapan Sabah terbentuk menjelang lima tahun akan datang, namun segalanya tidak sekadar berhenti di situ juga.

Baru semalam kita dikejutkan dengan berita pemergian Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin difahamkan akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Ramai juga tertanya-tanya jika hal ini akan membawa sebarang perubahan memandangkan allahyarham merupakan tokoh politik yang sangat penting di negeri itu.

Pada akhirnya rakyat Sabah mengharapkan sebuah kerajaan yang mendengar, bertindak dan menunaikan janji. Kini, mereka menunggu hasil nyata. Janji itu ibarat hutang dan hutang wajib dibayar.

Kedua-dua pemimpin dan rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing untuk dihormati dan ditunaikan. Semoga masa hadapan negeri serta negara akan terus cerah dan makmur bersama.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×