PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan kebimbangan dengan isu kestabilan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan sekali gus berharap konflik yang berlaku dapat diselesaikan melalui saluran diplomasi secara aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan rantau Asia Selatan adalah penting dan menggesa semua pihak mengelak ketegangan yang berpanjangan.
Beliau mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif tengah hari tadi bagi bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan isu serantau.
“Mengenai perkembangan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, saya menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap kestabilan rantau itu.
“Kita berharap semua pihak dapat mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan saluran diplomasi demi mengelak ketegangan berpanjangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut mengambil kesempatan dalam perbualan itu berkongsi situasi semasa banjir yang melanda Malaysia dan negara lain iaitu Indonesia serta Thailand.
Isu di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, khususnya di kawasan Garisan Durand, terus menjadi punca ketegangan yang berulang, terutamanya sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul pada Ogos 2021.
Pakistan kerap menuduh Afghanistan membenarkan kumpulan militan anti-Pakistan, termasuk Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP), beroperasi dari wilayahnya untuk melancarkan serangan.
Pertikaian mengenai sempadan serta insiden keganasan rentas sempadan mencetuskan pertempuran antara pasukan keselamatan kedua-dua negara, sekali gus meningkatkan bilangan korban awam dan ketenteraan.
Walaupun rundingan gencatan senjata diadakan dengan pengantaraan negara-negara luar seperti Qatar dan Turkiye, ketegangan masih kekal tinggi.
Laporan terkini menunjukkan rundingan damai di Istanbul baru-baru ini gagal mencapai penyelesaian konkrit dan pertempuran kembali meletus. – UTUSAN








