Foodie Media kekal antara kaunter paling aktif di Pasaran ACE

Foodie Media kekal antara kaunter paling aktif di Pasaran ACE

NICHOLAS Lim Pin Yang ketika ditemui di The Vertical Business Suites, Bangsar South. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Foodie Media Bhd. terus menarik perhatian pelabur apabila kekal sebagai salah satu kaunter dengan volum dagangan tertinggi dalam segmen media dan digital selepas seminggu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Pada penutup semalam, kaunter Foodie Media melonjak 10.29 peratus pada 37.5 sen dengan volum dagangan sebanyak 13.64 juta saham dengan permodalan pasaran kira-kira RM333 juta.

Pada hari penyenaraiannya, 28 November 2025, Foodie Media muncul sebagai kaunter paling aktif pada penutup dagangan selepas sahamnya melonjak 18.3 peratus di atas harga harga tawaran permulaannya (IPO) dan mencatat volum urus niaga tertinggi sebanyak sebanyak 1.5 juta unit di Pasaran ACE.

Lonjakan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap model perniagaan berasaskan kandungan digital dan rangkaian lebih 46 juta pengikut yang dimiliki syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, ia menjadi kebangaan apabila syarikat itu berjaya menjadi antara kaunter yang paling aktif dan merupakan kaunter berprestasi terbaik hari tersebut walaupun pasaran saham Malaysia agak mencabar.

“Sebenarnya pencapaian ini melebihi jangkaan kami. Kami sangat bangga kerana bukan sahaja pelabur institusi menunjukkan keyakinan, malah sentimen daripada orang awam juga sangat positif.

“Pada hari pertama, kami ditutup pada harga 40 sen iaitu lebih 30 peratus peningkatan. Jadi, memang kami sangat berpuas hati dengan pencapaian itu yang meletakkan Foodie Media sebagai antara kaunter paling aktif di Pasaran ACE,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Foodie Media membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 35.5 sen saham, mewakili premium 5.5 sen atau 18.33 peratus berbanding harga IPO 30 sen sesaham.

Syarikat yang terkenal dengan akaun media sosial KL Foodie itu merekodkan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 15.29 juta unit saham dan berjaya mengumpul sebanyak RM41.4 juta menerusi terbitan IPO.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyenaraian Foodie Media sebagai syarikat media digital pertama di Asia Tenggara dilihat sebagai petanda kebangkitan semula minat pelabur terhadap sektor berasaskan kandungan digital.

Menurutnya, walaupun sebelum ini sudah terdapat syarikat media tradisional yang tersenarai di Bursa Malaysia, kemunculan pemain digital memberikan dimensi baharu kepada pasaran.

“Kami merupakan yang pertama dalam kategori digital media. Kami mahu menetapkan hala tuju dan menjadi penanda aras baharu kepada industri.

“Pelabur kini juga semakin menyedari potensi besar sektor digital meskipun sifatnya tidak ketara berbanding industri berasaskan aset fizikal.

“Selama bertahun-tahun, ramai pelabur lebih selesa dengan perniagaan yang boleh dilihat dan disentuh. Namun, digital menawarkan ruang pertumbuhan yang jauh lebih luas,” jelasnya.

Nicholas berkata, keyakinan itu yang mendorong pelabur memilih untuk menyertai perjalanan pertumbuhan syarikat tersebut, sekali gus menunjukkan perubahan sentimen terhadap sektor digital di pasaran modal tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×