CHISINAU: Polis Moldova mengerahkan pakar pelupusan bom ke sebuah komuniti yang terletak beberapa kilometer (km) dari sempadan Ukraine selepas seorang penduduk tersilap menyangka sebuah dron yang jatuh sebagai ‘mainan’ dan membawanya pulang.
Apabila polis tiba di Pepeni, daerah Singerei kira-kira 100km di utara ibu negara Chisinau, mereka mendapati dron yang ditemui empat hari sebelumnya itu sudah dileraikan bahagiannya.
Polis berkata, dron berkenaan tidak mengandungi bahan letupan atau membahayakan keselamatan dan menggesa orang ramai agar tidak menyentuh atau cuba memindahkan dron yang jatuh atau objek seumpamanya.
Pihak berkuasa tidak menyatakan asal dron itu, namun ia dikenal pasti sebagai dron jenis Gerbera yang lazim digunakan untuk serangan buatan sendiri atau tujuan pemantauan.
Russia dilaporkan menggunakan dron jenis itu dalam perang di Ukraine.
Polis menerima maklumat daripada datuk bandar Pepeni. Rakaman video yang dimuat naik oleh pihak berkuasa tempatan di media sosial menunjukkan dron itu diletakkan di atas sebuah treler yang ditarik oleh traktor kecil, peralatan biasa di kawasan luar bandar.
“Seorang penduduk menyangka ia mainan dan membawanya masuk ke kawasan Pepeni.
“Sebaik sahaja ia memasuki kawasan komuniti, saya mengenal pasti individu tersebut dan memaklumkan institusi kerajaan ,” kata Datuk Bandar, Oleg Cernei dalam video tersebut.
Kejadian ini adalah yang terbaru dalam siri pencerobohan ruang udara dan penemuan dron di wilayah Moldova sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Minggu lalu, ruang udara Moldova diceroboh beberapa kali oleh kenderaan udara tanpa pemandu ketika serangan Russia di Ukraine.
Sebuah dron turut ditemui di atas bumbung sebuah rumah di sebuah kampung di daerah Floresti.
Susulan insiden itu, duta Russia dipanggil ke kementerian luar Moldova.-AGENSI











