PETALING JAYA: BIG CARiNG Group, rangkaian farmasi terbesar di Malaysia, memeterai perkongsian strategik dengan Great Tree Pharmacy dari Taiwan dan B&S Corporation dari Jepun bagi memperkukuh pembangunan penjagaan kesihatan preventif di rantau Asia.
Perkongsian itu melibatkan gabungan kepakaran tiga peneraju industri kesihatan iaitu jaringan runcit BIG CARiNG Group yang merangkumi BIG Pharmacy, CARiNG Pharmacy, Georgetown Pharmacy, Ting Pharmacy dan Wellings Pharmacy, kepakaran pasaran Great Tree Pharmacy serta ketelitian penyelidikan dan standard kualiti B&S Corporation yang telah membina legasi lebih 100 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif BIG CARiNG Group, Lee Meng Chuan berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk memperluas akses rakyat Asia kepada produk kesihatan yang terbukti secara klinikal serta disokong sains.
“Misi kami sentiasa tertumpu kepada menyediakan penyelesaian kesihatan berkualiti dan boleh dipercayai kepada setiap komuniti.
“Dengan gabungan kekuatan kesihatan Jepun, kecemerlangan farmasi Taiwan dan jaringan farmasi kami yang kukuh di Malaysia, kami membuka laluan membawa inovasi kesihatan yang lebih selamat dan profesional kepada pengguna Asia,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai langkah permulaan, pakatan tiga negara itu mengumumkan kemasukan rasmi LACTIS, jenama postbiotik Jepun yang berusia lebih 100 tahun ke pasaran suplemen kesihatan Malaysia mulai Disember 2025.
Selepas itu, lebih banyak produk kesihatan Jepun berasaskan penyelidikan saintifik termasuk suplemen anti-penuaan dan kesihatan warga emas akan diperkenalkan secara berperingkat.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif B&S Corporation, Yuko Murakoshi berkata, kerjasama tersebut merupakan kesinambungan kepada usaha syarikat yang bermula sejak 111 tahun lalu sebagai pengeluar yogurt pertama di Jepun dan kini telah menumpukan lebih 70 tahun kepada penyelidikan bakteria asid laktik.
“Salah satu inovasi utama kami, ‘Ekstrak Bakteria Asid Laktik’, kini memasuki tahun ke-41. Dipandu falsafah untuk menyumbang kepada kesejahteraan lebih ramai orang, kami komited menghasilkan produk berkualiti dengan ketelitian,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Great Tree Pharmacy, Cheng Ming Long berkata, rangkaian farmasi terbesar Taiwan itu sentiasa komited menyediakan produk kesihatan berkualiti kepada pengguna dan melihat kerjasama ini sebagai peluang memperkukuh ekosistem kesihatan serantau.
“Dengan sejarah lebih 30 tahun, kami percaya kerjasama tiga pihak ini mampu membina sinergi kukuh dalam memperkenalkan inovasi terbukti secara saintifik kepada pengguna Malaysia, Taiwan dan Asia.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan taraf kesihatan pengguna, malah menyumbang kepada pembinaan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan,” katanya. – UTUSAN










