CORAK monsun yang berubah dengan hujan tidak menentu, ribut semakin kuat dan peningkatan kejadian banjir kilat menjadikan musim tengkujuh tempoh mencabar bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental.
Dalam kalangan penyelidik, keadaan ini semakin dirujuk sebagai eco-anxiety, iaitu kebimbangan yang berkaitan dengan perubahan iklim dan ketidakstabilan alam sekitar.
Kehadiran gejala sebegini menunjukkan reaksi masyarakat terhadap bencana alam melepasi tahap kebimbangan biasa dan memasuki wilayah tekanan iklim yang lebih kompleks.
Kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan mangsa bencana berulang berisiko tinggi mengalami tekanan pasca trauma (PTSD), keresahan jangka panjang, gangguan tidur dan perubahan tingkah laku.
Walaupun istilah PTSD jarang dibincangkan dalam konteks Malaysia, namun aduan seperti “takut setiap kali hujan”, “terbayang rumah dinaiki air” dan “tidak dapat fokus kerja apabila cuaca mendung” menggambarkan simptom sebenar tekanan iklim yang semakin menular.
Di bandar pula, banjir kilat yang muncul secara tiba-tiba dalam masa kurang 30 minit menyebabkan penduduk merasa tidak mempunyai kawalan langsung terhadap persekitaran. Keadaan ini merupakan faktor utama eco-anxiety, apabila individu merasakan tiada kemampuan untuk melindungi diri atau mengurus risiko yang semakin kerap.
Apabila kesannya dirasai hampir setiap tahun, masyarakat mula mengembangkan pola kebimbangan jangka panjang. Kebimbangan ini dalam konteks Malaysia tidak terhad kepada masa hadapan planet semata-mata tetapi berkait secara langsung dengan keselamatan harian, kemampuan ekonomi, tempat tinggal dan kelangsungan hidup.
Di Sabah, Terengganu dan beberapa kawasan pesisir lain, kesan musim monsun lebih ketara kerana pengaruh angin kencang dan kenaikan paras laut. Komuniti seperti Bajau Laut berdepan perubahan yang mengganggu rutin harian, angin kuat yang menumbangkan struktur rumah atas air, ombak besar yang menyukarkan aktiviti menangkap ikan serta ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan keselamatan bot dan hasil tangkapan.
Bagi mereka, air bukan sekadar elemen cuaca tetapi identiti. Apabila air berubah, seluruh struktur sosial dan budaya turut terganggu.
Sistem amaran banjir berskala komuniti, pemantauan paras air menggunakan sensor murah, latihan bencana setempat dan pendidikan awam tentang risiko iklim antara pendekatan yang terbukti berkesan.
Namun, penyelidik menegaskan ketahanan tidak boleh dibina hanya melalui infrastruktur fizikal. Aspek psikososial seperti kesediaan mental, sokongan komuniti dan akses kepada bantuan kaunseling selepas bencana adalah sama penting.
Eco-anxiety bukan tanda kelemahan tetapi refleksi perubahan persekitaran yang semakin ketara. Menyedari kewujudannya membolehkan kita merangka strategi yang lebih komprehensif untuk meningkatkan daya tahan rakyat.
Memahami kebimbangan ini dalam konteks banjir bukan soal mencipta istilah baharu tetapi soal mengakui pengalaman sebenar masyarakat yang perubahan iklim memberi kesan bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kepada kesejahteraan mental rakyat.
Jika Malaysia ingin menghadapi cabaran iklim masa hadapan, maka kita perlu menjaga kedua-duanya iaitu tanah dan jiwa yang memikul ketidakpastian.-UTUSAN
DR. NUR AZALINA SUZIANTI FEISAL
Pensyarah Kanan,
Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat,
Management and Science University (MSU)










