GAZA: Lima rakyat Palestin termasuk dua kanak-kanak terbunuh manakala beberapa lagi cedera apabila pesawat Israel menyerang kawasan khemah pelarian di barat Khan Younis, menurut petugas perubatan di Hospital Lapangan Kuwait.
Serangan itu mengenai kawasan pesisir al-Mawasi di Gaza.
Pasukan perubatan memaklumkan mangsa terdiri daripada dua wanita berusia 46 dan 30 tahun, seorang lelaki berusia 36 tahun, serta dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.
Berita berkaitan:
Seramai 32 mangsa turut dilaporkan cedera dan kini dirawat di hospital yang sudah pun penuh sesak dengan pesakit.
Pasukan penyelamat memberitahu BBC mereka menemukan mayat di kem al-Najaat, sebuah kawasan khemah yang menempatkan ratusan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu.
Tentera Israel pula mendakwa mereka menyerang seorang pengganas Hamas selepas lima anggotanya cedera dalam satu insiden pada awal Rabu.
“Organisasi Hamas melakukan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata, ketika kumpulan itu menyerang anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang ditempatkan di kawasan Rafah,” kata IDF dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum itu berikrar akan bertindak balas sewajarnya.
Saksi pula berkata, serangan awal menyasarkan sebuah khemah dalam kawasan penempatan al-Mawasi, disusuli letupan berhampiran Hospital Kuwait, yang mencetuskan panik dalam kalangan keluarga yang berlindung di situ.
Hamas mengutuk tindakan Israel sebagai kejam, tidak mengenal sasaran dan satu pelanggaran terhadap gencatan senjata yang bermula pada 10 Oktober lalu.











