OSLO: Norway membina terowong jalan raya bawah laut terpanjang dan terdalam di dunia bertujuan memendekkan masa perjalanan antara bandar utama serta menjadi sebahagian daripada lebuh raya bebas feri di sepanjang pantai barat negara itu.
Terowong sepanjang 27 kilometer (km) itu dinamakan Rogfast, singkatan kepada “Rogaland fastforbindelse”, merujuk kepada nama wilayah berkenaan dan perkataan Norway bagi ‘hubungan tetap’. Pada bahagian terdalam, ia terletak 392 meter (m) di bawah paras laut.
Kerja pembinaan bermula pada Januari 2018 namun dihentikan pada akhir 2019 susulan jangkaan peningkatan kos yang memaksa pembatalan kontrak sedia ada serta penyusunan semula projek.
Pembinaan bersambung semula pada akhir 2021 dan terowong itu dijangka siap pada 2033 dengan kos sekitar 25 bilion kroner Norway (RM10.2 bilion).
“Terowong ini akan meningkatkan hubungan pengangkutan di sepanjang pantai barat Norway, dengan menyediakan laluan lebih pantas dan lebih boleh dipercayai antara wilayah Stavanger dan Haugesund,” kata Anne Brit Moen, pengurus projek di Skanska.
Dengan menggantikan perkhidmatan feri sedia ada, Rogfast dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Bergen dan Stavanger iaitu bandar kedua dan keempat terbesar Norway sebanyak 40 minit, selain memudahkan perjalanan harian.
Terowong itu terdiri daripada dua laluan berasingan, masing-masing dengan dua lorong trafik, direka khusus untuk kegunaan kenderaan. Ia turut menampilkan satu elemen reka bentuk yang unik di pertengahan laluan iaitu bulatan berkembar pada kedalaman 260m, yang menghubungkan terowong sambungan menuju ke pulau Kvitsøy, kawasan perbandaran terkecil Norway.
Pembinaan terowong sepanjang itu di bawah laut menimbulkan pelbagai cabaran teknologi. Seperti kebanyakan terowong moden, Rogfast dibina dari kedua-dua arah secara serentak, dengan sasaran agar dua pasukan pembinaan bertemu di tengah dengan ketepatan hanya 5 sentimeter
Untuk mencapai ketepatan ini, ukuran rapi menggunakan laser dan peralatan canggih diperlukan. Pengimbas laser berputar dengan cermin khas mengukur setiap bahagian terowong yang baru digali, mengumpul 2 juta titik data sesaat bagi menghasilkan pelan digital terowong yang kemudian dibandingkan dengan pelan asal untuk mengesan sebarang ketidaktepatan.
Margin 5cm itu antara yang paling ketat di dunia tetapi mampu menjimatkan masa, kos, sisa dan pelepasan karbon dengan mengelakkan kesilapan.










