FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung pada 1 November lalu mengundang pelbagai kritikan semenjak pihak penganjur mendedahkan senarai pencalonan akhir bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Sudah tentu, persoalan penilaian dan penjurian sering menarik perhatian ramai pihak. Namun, akar permasalahannya, yang berkaitan keseluruhan aspek penganjuran dan pengisiannya, yang menuntut perhatian dan renungan secara serius.
Setelah 34 kali dianjurkan dalam jangka masa 45 tahun, FFM masih berada di takuk yang lama. Isu besar yang sebenarnya membelenggu FFM adalah ‘kemenjadian’nya.
Festival ini tiada identiti mahupun penjenamaan kerana saban tahun selama dua dekad ini sekadar menjadi sebuah majlis anugerah popular, seperti Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Era.
Tidak pasti, adakah FFM sekadar ingin meniru majlis Anugerah Akademi (Oscars) yang pemenangnya diundi oleh para ahli akademi berkaitan? Tidak juga jelas sama ada FFM sebenarnya ingin berfungsi sebagai sebuah festival filem (nasional) dengan para pemenangnya diputuskan oleh satu panel juri yang dilantik?
Secara sejarahnya, pada dua tahun pertama, FFM yang mulanya dikenali sebagai Pesta Filem Malaysia dianjurkan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) dengan kiblatnya berpaksikan Oscars.
Pada 1982, FFM3 mula diambil alih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) apabila Allahyarham Ismail Zain menjadi Ketua Pengarah FINAS. Ismail lebih mementingkan pengisian festival dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan acara seperti seminar, forum, bengkel dan pameran.
Beliau cuba meringankan fokus berlebihan terhadap majlis malam anugerah. Ketika itu juga, rumusan penilaian juri diterbitkan di media dan dikongsikan dengan khalayak masyarakat.
Selepas Ismail tidak lagi berkhidmat di FINAS pada 1985, FFM dilihat cuba mengimbangi antara menjadi sebuah majlis malam anugerah ala Oscars dan berfungsi sebagai sebuah festival filem dengan pelbagai aktiviti dan acara. Namun, saban tahun, pengisiannya kurang tekal dan sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Hal ini berlanjutan hinggalah ke hari ini. Ada ketikanya, FFM sarat dengan pelbagai acara. Pada ketika yang lain pula hanya didukung majlis malam anugerah.
Sudah tiba masanya FINAS mengundurkan diri dari penganjuran FFM dan melantik sebuah badan atau organisasi lain untuk menganjurkannya.
FINAS sepatutnya memberikan sokongan dan bantuan kewangan sahaja. Justeru badan atau organisasi yang dilantik inilah perlu menggalas tugas bagi menjayakan FFM sepanjang tahun, bukannya sebulan atau dua sebelum festival ini mengambil tempat.
Badan atau organisasi ini perlu mengenal pasti dan menentukan format dan jalur masa FFM. Contohnya, melantik pengarah dan beberapa kurator, di samping menetapkan bulan yang sama setiap tahun FFM berlangsung. Sebelum ini, penganjuran FFM tidak menentu, sehingga pada tahun tertentu tiada penganjuran sama sekali.
Menyedihkan, penganjur FFM dilihat sangat ketandusan idea. Contohnya, FFM34 menampilkan acara apresiasi filem, namun fokus dan pengisiannya cukup mengelirukan. Akhirnya acara ini lebih meraikan tokoh-tokoh bintang veteran, bukannya filem.
Sudah beberapa dekad, pengisian FFM lebih sinonim dengan usaha meraikan bintang veteran sahaja. Natijahnya, filem masih dipinggirkan dan tetap tidak diraikan. Jika FINAS begitu berminat menghargai tokoh-tokoh bintang filem veteran, maka pihak mereka boleh sahaja mengadakan sesi penghargaan ini pada setiap bulan atau setiap minggu sekali pun.
TAMBAH BAIK
FFM sepatutnya menjadi wahana bagi menyemai dan memupuk rasa cinta dan cakna terhadap sinema Malaysia. Pelbagai program tayangan filem boleh diadakan dengan fokus atau tema tertentu. Contohnya, apresiasi filem-filem Melayu ‘era studio’ menerusi program retrospektif para pengarah terdahulu seperti Hussain Haniff, M. Amin, Jamil Sulong, dan L. Krishnan.
Ini dapat menjambatani khalayak hari ini termasuk para pembikin dan penggiat filem Malaysia dengan pengarah dan karya masa lalu.
Fokus atau tema lain yang boleh ditonjolkan bagi program tayangan dan wacana adalah karya pengarah wanita Malaysia, filem-filem tentang Borneo dan langka tempatan yang signifikan tetapi kurang diketahui umum.
Selain apresiasi filem berformat atau bergenre tertentu seperti animasi, dokumentari, filem pendek dan karya eksperimental.
Pengisian lain yang sepatutnya diadakan adalah sesi-sesi perkongsian atau masterclass yang melibatkan tokoh karyawan lain (selain pengarah dan bintang filem) yang pakar, berpengalaman dan ternama dalam pengkhususan masing-masing, seperti pengarah fotografi, penyunting, penulis skrip dan pereka set produksi.
Siri jelajah promosi juga sepatutnya diperluaskan, bukan sahaja di kampus universiti dan sekolah tetapi juga di ruang awam yang lain di seantero negeri dan daerah.
Dalam siri jelajah promosi ini, program seperti siri tayangan dan diskusi filem bagi tujuan apresiasi perlu dijadikan agenda utama, bukan semata-mata sesi bertemu bintang filem.
Jika sekadar ingin menghargaipenggiat industri filem, lebih baik mengadakan majlis makan malam gala sahaja.
FFM tidak sepatutnya dihadkan kepada karyawan dan penggiat industri sahaja tetapi perlu melibatkan khalayak massa supaya filem dapat dibangunkan sebagai ‘budaya awam’ di Malaysia.
Antara kaedah yang dapat memajukan sinema Malaysia adalah dengan mendidik dan membangunkan khalayaknya. Ini menuntut komitmen dan proses pendidikan jangka panjang lagi berterusan yang melibatkan pelbagai pihak. Setakat ini, pelbagai pihak dilihat kurang berminat dalam menjayakan agenda ‘membangunkan khalayak’ ini.
Dalam jangka masa panjang, khalayak yang berkualiti dapat menentukan jenis dan kualiti filem yang dihasilkan. Justeru citarasa terhadap filem tidaklah dibatasi dan disempitkan genre filem aksi gaya blockbuster Hollywood sahaja, seperti trend penontonan hari ini.
Keterbatasan apresiasi dan citarasa ini turut dicerminkan mereka yang bergelar ‘autoriti’ dalam bidang ini, dari penggubal dasar hinggalah kepada panel juri FFM. Maka, mengapa kita perlu hairan jika karya yang ‘selamat’ lagi ortodoks, atau karya bertaraf ‘drama TV’, yang diangkat sebagai pemenang FFM?
FFM perlukan satu anjakan besar. Hal ini penting supaya FFM dapat menjadi nadi kepada kualiti dan budaya filem yang menyeluruh di Malaysia, yakni yang turut membangunkan khalayak masyarakatnya. Selain meraikan filem, pengisian ilmu dan pertukaran idea seharusnya diberi penekanan utama.-UTUSAN
DR. Norman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana.










