Semangat solidariti menjadi kekuatan selepas Perlis ‘menangis’

Semangat solidariti menjadi kekuatan selepas Perlis ‘menangis’

PEMANDANGAN dari udara keadaan banjir di Arau, Perlis baru-baru ini. –UTUSAN/SAIFUL NIZAM SUKUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLIS sehari dua ini kembali kepada suasana seperti biasa. Negeri ini panas dan membahang. Suhu mencecah 33 darjah Celsius, dan penduduk kembali menjalani rutin harian.

Namun, minggu lalu negeri itu seperti berubah wajah, apabila sebahagian besar kawasan ditenggelami air akibat banjir besar.

Sejak 23 November, Perlis ‘menangis’. Padang Besar, Arau dan bandar Kangar seperti lautan, dengan rumah-rumah dinaiki air hingga paras pinggang dan dada.

Ribuan mangsa terkesan, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Kawasan padi tenggelam, lokasi pelancongan, sekolah, hospital dan pejabat kerajaan semuanya menerima tempias, masing-masing menghadapi kemusnahan serius.

Dalam tempoh tiga hari bermula 23 hingga 25 November, Perlis berada dalam keadaan ‘kritikal’, hampir keseluruhan negeri ditenggelami air sebelum perlahan-lahan surut.

Pada pagi 23 November, penduduk Wang Kelian dikejutkan apabila kawasan berbukit itu menjadi lokasi pertama dilanda banjir. Padang Besar dan kawasan sekitarnya tidak terkecuali, teruk terjejas.

Limpahan air dari Satun, Thailand melalui Wang Burma antara punca banjir besar di Wang Kelian. Kawasan itu juga terputus hubungan selepas tanah runtuh menutup jalan utama dari View Point Wang Kelian ke Kampung Wang Kelian dan ribuan mangsa dari Padang Besar dipindahkan ke PPS.

Penduduk di kawasan berbukit berasa cemas dan panik apabila air datang tanpa amaran, menyebabkan ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.

Banjir kali ini khususnya di Wang Kelian dan Kaki Bukit dianggap paling buruk dalam tempoh 40 tahun. Rumah-rumah dinaiki air hingga paras pinggang. Sementara kawasan rekreasi popular seperti Gua Kelam, Timah Tasoh dan Taman Negeri turut ditenggelami air. Penduduk yang tinggal di kawasan rendah hanya mampu melihat rumah mereka tenggelam satu persatu, bagaikan dilanda tsunami kecil di daratan.

Dari utara, limpahan air bergerak menenggelamkan Arau dan Kangar, meragut ribuan mangsa serta merosakkan infrastruktur dan kemudahan awam. Lebih 75 peratus tanaman padi di Perlis musnah, manakala premis perniagaan menanggung kerugian besar. Kedai-kedai dan pasar kecil di bandar Arau dan Kangar tenggelam, meninggalkan pemiliknya dengan kerugian ribuan ringgit dan kesedihan yang mendalam.

Banjir juga menjejaskan banyak sekolah, antaranya Sekolah Tengku Budriah (STB) di Arau, yang mengalami kemusnahan hampir 99 peratus apabila dinaiki air sehingga paras dada. Buku, dokumen pentadbiran, komputer dan kemudahan lain musnah, mengganggu proses pembelajaran selama beberapa bulan.

Meskipun tidak seteruk banjir 2010, banjir Perlis 2025 akan diingati sebagai antara yang terburuk dalam sejarah negeri ini.

Pada 2010, lebih 63,000 penduduk terkesan, dengan hampir 47,000 hektar atau separuh negeri ditenggelami air dan kerugian dianggarkan mencecah RM200 juta. Bagaimanapun, selepas pembinaan projek Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh bermula 2012 dan siap sepenuhnya pada 2020, Perlis berjaya mengelak dari banjir besar selama 15 tahun.

LBB merupakan tebatan banjir pertama di Malaysia yang mengalirkan limpahan air dari empangan terus ke laut di Kuala Perlis. Tanpa terusan ini, bencana 2025 mungkin jauh lebih dahsyat.

Nilai kerugian akibat banjir ini masih belum dimaklumkan, namun dijangka besar. Selepas 15 tahun bebas banjir besar, tragedi ini membuktikan pentingnya kerjasama semua pihak antara kerajaan negeri, agensi kerajaan, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, pemimpin politik dan rakyat sendiri dalam usaha menyelamatkan mangsa, memindahkan mereka, menyalurkan bantuan serta memulihkan keadaan pascabencana.

Kerajaan negeri segera mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk mengkoordinasi operasi, memantau proses penyelamatan, memastikan logistik, mengatur gerak pasukan dan keperluan lain.

Pengurusan banjir berjalan lancar tanpa banyak rungutan berhubung pemindahan, makanan atau masalah lain di PPS, yang diuruskan dengan cekap.

Sukarelawan dari seluruh negara hadir membantu. Lebih menarik, lebih 300 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorbankan cuti semester, tidak pulang ke kampung untuk membantu mangsa banjir khususnya dalam kerja-kerja pembersihan selepas bencana.

Wakil rakyat, pemimpin parti politik dan penduduk kampung turut sibuk membantu, mengutamakan kepentingan rakyat melebihi fahaman politik. Suasana semangat gotong-royong dan solidariti masyarakat kelihatan begitu jelas, menenangkan hati mangsa yang trauma.

PASCABANJIR
Kini, tumpuan beralih kepada proses pemulihan pascabanjir, yang mencabar dan memerlukan kerjasama berterusan. Setakat rencana ini ditulis, mangsa di Perlis menurun kepada 1,387 orang membabitkan 10 PPS yang masih dibuka.

Pascabanjir, kerja-kerja pembersihan dan pembaikan infrastruktur menjadi agenda utama kerajaan negeri, termasuk pembaikan jalan, jambatan, sekolah, hospital dan pemulihan tanaman padi.

Banjir Perlis 2025 juga meninggalkan kesan mendalam terhadap pengamal media. Mohamad Asry Shafii, 49, wakil Astro Awani Perlis, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan banjir.

Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham, yang kehilangan insan tersayang ketika menjalankan tugas.

Perlis sekali lagi bangkit daripada tangisan banjir. Dari air yang menenggelamkan rumah, sawah padi dan sekolah, negeri ini kini menumpukan tenaga untuk pemulihan, memperkuatkan daya tahan dan menanam harapan baharu bagi masa hadapan.

Walaupun banjir meninggalkan jejak kemusnahan dan duka, namun dalam masa sama membuka ruang bagi solidariti, keberanian dan semangat komuniti yang tidak mudah pudar.

Masyarakat Perlis menunjukkan walaupun bencana datang tanpa amaran, semangat rakyat tetap utuh dan bersatu.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×