Adakah guna wang tunai lebih selamat dari digital?

Adakah guna wang tunai lebih selamat dari digital?

MALAYSIA masih berada dalam fasa transisi tanpa tunai namun bergerak dengan langkah yang positif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN dunia tanpa tunai menjanjikan kemudahan, namun dalam masa sama membuka ruang kepada ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks.

Kejadian seperti penipuan dalam talian, pencerobohan data peribadi dan penyamaran digital menunjukkan kemajuan teknologi tidak datang tanpa risiko.

Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan peningkatan ketara dalam kes penipuan kewangan digital sejak 2022, membabitkan jutaan ringgit. Fenomena ini membuktikan tahap kesedaran keselamatan digital dalam kalangan masyarakat masih perlu dipertingkatkan.

Oleh itu, sistem ekonomi tanpa tunai harus disertai dengan mekanisme perlindungan data yang kukuh, penguatkuasaan undang-undang siber yang tegas dan pendidikan pengguna yang berterusan.

Peralihan ke arah ekonomi tanpa tunai turut berdepan cabaran jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar. Di kawasan pedalaman, akses kepada internet berkelajuan tinggi masih terhad menyebabkan masyarakat sukar untuk mengaplikasikan sistem pembayaran digital secara menyeluruh. Selain itu, warga emas dan peniaga kecil sering berasa kurang yakin terhadap penggunaan teknologi baharu disebabkan faktor literasi digital yang rendah. Justeru, pelaksanaan ekonomi tanpa tunai perlu bersifat inklusif dan berperingkat, agar setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat tanpa rasa terpinggir.

Aspek pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk pengguna digital yang bertanggungjawab dan beretika. Masyarakat perlu dididik mengenai kaedah melindungi maklumat peribadi, kepentingan penggunaan kata laluan yang selamat serta cara mengenal pasti taktik penipuan siber. Kerajaan, institusi kewangan dan sektor swasta disaran bekerjasama dalam mengadakan kempen kesedaran kewangan digital supaya rakyat bukan sahaja mahir menggunakan teknologi tetapi juga memahami risiko dan tanggungjawab yang datang bersamanya.

Sweden dan China hampir mencapai status ekonomi tanpa tunai sepenuhnya. Malaysia masih berada dalam fasa transisi, namun bergerak dengan langkah yang positif. Kejayaan ke arah ini tidak bergantung semata-mata kepada teknologi tetapi juga kepada keyakinan awam, kestabilan sistem kewangan dan tahap literasi digital nasional.

Malaysia berpotensi menjadi antara negara terdepan di rantau Asia Tenggara dalam membangunkan ekosistem ekonomi digital yang mapan dan berintegriti dengan pendekatan yang seimbang antara inovasi serta keselamatan.

Akhirnya, kejayaan menuju dunia tanpa tunai bergantung sejauh mana rakyat Malaysia bersedia untuk berfikir digital, bertindak bijak dan berbelanja dengan beretika dalam era teknologi yang semakin pantas berkembang.-UTUSAN

ILINADIA JAMIL
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka
Kampus Alor Gajah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×