Kekal beretika ketika guna teknologi maklumat

Kekal beretika ketika guna teknologi maklumat

TEKNOLOGI dibangunkan berlandaskan nilai moral akan membawa kemajuan dan keharmonian, namun jika disalah guna boleh menjadi punca perpecahan dan keruntuhan moral.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadi tulang belakang pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

Malaysia tidak terkecuali apabila internet, media sosial dan aplikasi digital menjadi sebahagian besar kehidupan masyarakat.

Kewujudan pelbagai platform membolehkan masyarakat berkongsi pandangan dan idea, namun kebebasan ini turut menimbulkan cabaran terhadap nilai etika mahupun peradaban. Penyebaran fitnah, penipuan dalam talian, buli siber dan pelanggaran privasi antara penyalahgunaan teknologi yang menjejaskan moral dan keharmonian sosial.

Etika dan peradaban dalam penggunaan ICT penting untuk memastikan teknologi menjadi alat kemajuan, bukan sumber keruntuhan moral. Pendidikan dan kesedaran tentang tanggungjawab digital perlu diperkukuh agar masyarakat mampu mengekalkan keharmonian serta nilai kemanusiaan, sejajar aspirasi Malaysia Madani yang menekankan ihsan, hormat dan keadilan digital.

Etika merujuk kepada prinsip moral dalam menentukan betul atau salah, manakala peradaban membawa maksud kematangan masyarakat dalam mengurus teknologi dengan adab dan nilai kemanusiaan. Seorang pengguna yang beretika bukan sahaja mengelak salah laku seperti menipu dalam talian tetapi juga memastikan penggunaan teknologi memberi manfaat kepada orang lain.

Walaupun kerajaan melaksanakan dasar seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Pelan Strategik Keselamatan Siber Negara, namun cabaran etika masih berleluasa. Antaranya penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keamanan negara, buli siber dan ujaran kebencian yang menimbulkan ketegangan sosial serta penipuan dalam talian seperti ‘scam’ yang merugikan rakyat.

Ketagihan media sosial juga menyebabkan kemerosotan nilai budi bahasa dan sopan santun, khususnya dalam kalangan generasi muda. Teknologi sepatutnya menjadi alat memperkukuh hubungan sosial, bukan memisahkan manusia daripada dunia nyata.

Dari perspektif Islam, etika digital berpaksikan akhlak serta adab al-Quran dan Sunnah, termasuk prinsip memeriksa kebenaran maklumat sebelum menyebarkannya.

Budaya Timur pula menekankan hormat dan kesopanan dalam komunikasi. Malaysia yang berbilang kaum perlu mengekalkan tatasusila digital agar kebebasan bersuara tidak disalah tafsir sebagai lesen menghina atau merendahkan orang lain.

Langkah memperkukuh etika melibatkan pendidikan literasi digital, peranan keluarga dan komuniti, penguatkuasaan undang-undang, tatakelakuan digital serta pengaruh media mahupun selebriti digital.

Literasi digital harus merangkumi pengurusan privasi, pengenalpastian berita palsu dan kesedaran moral. Media serta pempengaruh perlu menjadi suri teladan dengan menyebarkan mesej positif dan menghormati kepelbagaian.

Fenomena kebebasan digital tanpa batas semakin nyata, termasuk penghinaan terhadap institusi diraja, agama dan simbol kebangsaan. Ini menunjukkan kemajuan teknologi tanpa kawalan nilai boleh membawa kepada anarki digital. Oleh itu, setiap rakyat perlu memahami kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab sosial dan etika.

Kesimpulannya, teknologi yang digunakan perlu berlandaskan nilai moral akan membawa kemajuan dan keharmonian. Ini kerana jika disalah guna boleh menjadi alat perpecahan dan kehancuran moral.

Marilah kita membina peradaban digital Malaysia yang berpaksikan nilai keagamaan, kemanusiaan dan kesopanan agar teknologi menjadi jambatan kesejahteraan, bukan jurang kebinasaan.-UTUSAN

MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat,
Politeknik Hulu Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×