KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan sebanyak 39 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri melibatkan 3,500 tapak bagi tahun 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, program post-mortem pelaksanaan bazar Ramadan dan Aidilfitri sudah dilaksanakan pada Jun lalu dan dapatan tersebut digunakan bagi memperkemaskan pelaksanaan pada tahun hadapan.
“Kami juga melihat persediaan bazar Ramadan dan Aidilfitri, kita (mahu) pastikan supaya persediaan yang terbaik (untuk tahun akan datang),” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Zaleha berkata, beliau sudah menerima taklimat daripada DBKL dan agensi berkaitan mengenai kesiapsiagaan berdepan musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Beberapa hari lepas kita berdepan dengan ribut tropika Senyar, Alhamdulilah ribut tersebut sudah mereda. Kamo menjangkakan dan diberi tahu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa ada masa sedikit lapang (iaitu) dalam seminggu, sebelum kita mungkin berdepan dengan MTL.
“Ini yang kita perlukan kesiapsiagaan yang teliti, kerana MTL kebiasaannya membawa kepada hujan lebat dan kemungkinan banjir kilat di beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Buat masa ini ada 15 kawasan hotspot yang sudah kita kenalpasti,” katanya.
Terdahulu, Zaliha bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud melakukan lawatan ke Jalan Masjid India bagi mendapatkan penjelasan mengenai tahap kajian teknikal yang sudah dilaksanakan berkaitan insiden tanah mendap.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, DBKL bersama Kumpulan Ikram Sdn Bhd (Ikram) sedang menilai keselamatan kawasan-kawasan di sekitar Jalan Masjid India terutama yang mempunyai risiko untuk berlaku tanah mendap.
“Dijangka dalam masa sebulan, kita akan dapat keputusannya dan tindakan akan diambil dengan segera serta sebaiknya untuk memastikan kawasan di Jalan Masjid India terus berada dalam keadaan yang selamat.
“Beberapa cadangan penambahbaikan akan dibincangkan dengan lebih terperinci bersama jabatan pelaksana untuk memastikan jalan tersebut lebih selamat,” katanya. -UTUSAN










