MALAYSIA perlu melahirkan generasi pemikir baharu yang berupaya menggabungkan empati seni dengan ketelitian saintifik bagi menghadapi landskap global yang semakin kompleks.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menegaskan bahawa inovator pada masa hadapan harus dilengkapi dengan kemahiran untuk bekerja merentasi sempadan tradisional, menggunakan imaginasi dan pemikiran saintifik untuk menangani cabaran sosial dan bumi.
Untuk Malaysia terus maju dalam era yang penuh dengan kerumitan, kita memerlukan individu yang mampu berfikir melangkaui kebiasaan.
Bakat yang dapat menggabungkan empati seni dengan ketelitian saintifik serta menghasilkan inovasi secara bertanggungjawab demi kesejahteraan manusia dan bumi. Kedua-dua unsur ini perlu saling melengkapi, bukan saling mengatasi. Inisiatif ArtScience menyediakan platform bagi anak muda Malaysia meneroka gabungan kreativiti dan pemikiran saintifik.
Di samping pembangunan bakat individu, MOSTI melihat ArtScience sebagai platform untuk menggalakkan kolaborasi merentas sektor. Dengan menghubungkan inovator muda bersama mentor, rakan sebaya dan rakan industri, inisiatif ini memperkukuh rangkaian yang mempercepat pemindahan idea daripada konsep kepada pelaksanaan, sekali gus menjana manfaat kepada masyarakat dan ekonomi.
Program seperti ArtScience Prize membuktikan bahawa dengan menggabungkan imaginasi dan bukti, generasi baharu dapat diperkasa dengan kemahiran, keyakinan dan visi untuk membentuk masa depan yang mampan dan inklusif.
Diharap ArtScience Prize dapat menjadi salah satu program utama dalam Minggu Sains Negara anjuran MOSTI bagi memacu interaksi seni dan sains yang diperlukan.
ArtScience Prize bukan sekadar sebuah pertandingan. Ia merupakan platform penerokaan yang penting yang menggalakkan daya fikir mendalam serta perbincangan yang bermakna. Akademi Sains Malaysia (ASM) berharap dapat memupuk pencipta yang mampu berfikir secara berani, berinovasi secara bertanggungjawab dan berkarya dengan tujuan yang jelas.
ASM memperkenalkan Inisiatif ArtScience pada 2019 untuk memupuk kreativiti serta memperkasa elemen seni dalam pembudayaan sains di Malaysia. ArtScience Prize tahun ini membawa tema Transforming The Future of Arts: AI Meets Sustainability, menggalakkan peserta meneroka bagaimana kecerdasan buatan dapat memacu sinergi inovatif dalam amalan seni lestari. – UTUSAN
AKADEMI SAINS MALAYSIA (ASM)










