BEIRUT: Israel melancarkan 669 serangan udara terhadap Lubnan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada November 2024, menurut sebuah institut keselamatan Israel.
Angka itu bersamaan kira-kira dua serangan setiap hari, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai komitmen rejim Zionis terhadap perjanjian damai yang dicapai tahun lalu.
Gencatan senjata antara Tel Aviv dan Beirut dimeterai pada 27 November 2024 selepas lebih setahun pertempuran berkaitan perang Gaza yang meragut lebih 4,000 nyawa serta mencederakan 17,000 yang lain.
Biarpun perjanjian menetapkan tentera Israel perlu berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan pada Januari lalu, rejim itu hanya berundur sebahagian dan masih mengekalkan kehadiran ketenteraan di lima pos sempadan.
Laporan terbaharu Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alma mendapati 699 serangan udara dilakukan sepanjang tahun lalu dengan alasan menyasarkan infrastruktur Hezbollah. Daripada jumlah itu, 47 peratus menyasarkan kawasan selatan Sungai Litani dan 38.4 peratus di kawasan utara.
Wilayah Bekaa menerima 13 peratus serangan, manakala 11 serangan lagi menggegarkan Beirut dan kawasan sekitarnya.
Institut berkenaan turut melaporkan serangan paling kerap berlaku pada bulan-bulan awal gencatan senjata, dengan purata 51 serangan setiap bulan.
Disember 2024 dan Mac 2025 direkodkan sebagai bulan paling banyak serangan.
Laporan itu juga mendakwa 218 anggota Hezbollah terbunuh dalam serangan Israel, termasuk komander kanan Haitham Ali Tabatabai yang maut dalam serangan udara di Beirut pada Ahad.
Menurut institut itu, pada masa ini tiada kehadiran atau aktiviti Hezbollah yang bersifat kekal atau signifikan dikesan di sepanjang garis sempadan.










