BANGKOK: Polis Sempadan Thailand memohon maaf selepas menyiarkan imej bantuan banjir yang diubah suai menggunakan kecerdasan buatan (AI), memaparkan pasukan penyelamat lengkap berpakaian tempur serta memegang senjata automatik di kawasan banjir di Hat Yai.
Imej itu menimbulkan kekeliruan ketika selatan Thailand bergelut dengan bencana yang meragut sekurang-kurangnya 55 nyawa.
Imej oleh Pasukan Polis Rondaan Sempadan 437 itu dimuat naik ke Facebook dengan kapsyen ‘pasukan sedia memasuki zon 8 hari ini’, disertai emoji ketawa.
Hantaran itu dibuat selepas tular rakaman bunyi tembakan ketika sukarelawan menaiki jet ski menjalankan operasi menyelamat di kawasan berkenaan.
Pemeriksa fakta AFP menggunakan alat pengecaman AI Google, SynthID, mengesan tera air digital berbentuk bintang yang menandakan imej tersebut dihasilkan melalui perisian Gemini.
Polis kemudiannya memohon maaf dan menyiarkan gambar asal yang menunjukkan anggota tanpa senjata berada di dalam bot dengan jaket keselamatan jingga.
Menurut kenyataan unit itu, tiada anggota yang membawa senjata ketika operasi bantuan dan imej berkenaan hanya dihasilkan untuk menunjukkan kesiapsiagaan mereka.
AFP melaporkan tiada tindakan disiplin dikenakan terhadap mana-mana anggota setakat ini.
Insiden berkenaan berlaku walaupun Pusat Anti Berita Palsu Thailand telah mengeluarkan amaran supaya orang ramai tidak berkongsi imej AI yang boleh mengelirukan serta mengganggu operasi bantuan. Netizen turut mengecam tindakan itu, menegaskan komunikasi ketika krisis tidak boleh dipermainkan.
Namun, sebahagian pengguna media sosial menyatakan sokongan, malah ada penduduk Hat Yai yang menyifatkan imej sedemikian sebagai sesuatu yang mereka harapkan dalam keadaan cemas dan berbahaya ketika banjir besar melanda wilayah itu.










