Doha, Qatar: Max Verstappen memburu kemenangan hatrik di Grand Prix Qatar hujung minggu ini ketika kejuaraan dunia Formula Satu (F1) tahun ini mencapai kemuncaknya di Teluk Arab.
Namun dia tahu, lebih daripada sesiapa bahawa walaupun dengan nasib menyebelahinya, amat sukar untuknya mengatasi jurang 24 mata yang memisahkannya daripada pemandu McLaren, Lando Norris ketika mereka menghampiri dua perlumbaan terakhir musim di Qatar dan Abu Dhabi.
Walaupun disingkirkan bersama rakan sepasukan McLaren yang juga pencabar kejuaraan, Oscar Piastri selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada Grand Prix Las Vegas Ahad lalu, Norris tiba di Qatar sebagai pilihan utama untuk merangkul gelaran pertamanya dan menghadiahkan McLaren gelaran berganda pemandu-dan-pasukan buat kali pertama sejak kejayaan Mika Hakkinen pada 1998.
Pemandu Britain berusia 26 tahun itu, dengan 390 mata hanya perlu mengekalkan ketenangannya dan mengatasi pencabarnya, kedua-duanya berada pada 366 mata dengan Piastri di hadapan berdasarkan tujuh kemenangan berbanding enam dengan dua mata untuk muncul sebagai juara menjelang malam Ahad.
Daripada bertiga, Norris adalah satu-satunya yang berpeluang merangkul kejuaraan hujung minggu ini ketika musim tiba pada apa yang pernah digambarkan bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson, sebagai squeaky bum time (detik genting).
Setelah memenanginya empat kali berturut-turut, Verstappen memiliki pengalaman dan kekentalan mental sementara kegusaran serta keresahan menghantui Norris dan Piastri yang seolah-olah kehilangan rentak dan ketenangan diri sejak kebelakangan ini.
Pelbagai senario dikemukakan tetapi jelas dengan kelebihan mata yang selesa, Norris mempunyai tugasan paling mudah dan paling sedikit alasan untuk mengambil risiko ketika mereka bertarung roda ke roda dalam perlumbaan pecut pada Sabtu ini.
Secara hampir menakjubkan, Verstappen telah menutup jurang 104 mata di belakang pendahulu ketika itu, Piastri sejak awal September dengan prestasi hebat yang membuatkan peminat McLaren berdebar-debar dan mempersoalkan kebijaksanaan keputusan terhormat pasukan itu untuk membenarkan kedua-dua pemandu mereka bersaing bebas.
Setiap set tayar akan dihadkan kepada 25 pusingan, satu peraturan yang mungkin menghasilkan aksi mendebarkan, strategi di luar jangkaan dan meletakkan premium kepada keputusan pasukan di pit dalam suasana persaingan sengit.
Ini mungkin menyaksikan Mercedes atau Ferrari menggugat ramalan dan mencipta keputusan tidak dijangka yang boleh membawa kepada situasi di mana Norris, Piastri dan Verstappen berangkat ke Abu Dhabi untuk penentuan musim di mana, seperti pada 2021, pemenang meraih segalanya. – AFP/UTUSAN










