Proton lancar Saga baharu pada harga bermula RM38,990

Proton lancar Saga baharu pada harga bermula RM38,990

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd. (Proton)  melancarkan Saga baharu pada harga RM38,990 bagi varian Standard, RM44,990 (Executive) dan RM49,990 (Premium) di atas jalan tanpa insurans.

Proton turut memberikan rebat istimewa kepada pelanggan sempena pelancaran rasmi kereta itu sebanyak RM1,000 bagi setiap varian sehingga 31 Disember 2025.

Sehingga kini, Saga baharu telah menerima 20,000 tempahan sejak dibuka pada 10 November lalu. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa, Saga baharu bukan sekadar sebuah kereta, namun ia simbol kemajuan negara yang diolah semula untuk generasi baharu. 

“Pasukan pengeluaran Proton di Tanjong Malim bekerja keras bagi memastikan pelanggan dapat merasai pengalaman memandu Saga baharu secepat mungkin.

“Ini adalah untuk meningkatkan kapasiti bekalan dengan penyerahan kereta kepada pelanggan yang dijadualkan bermula sebaik sahaja pelancaran rasmi diadakan,” katanya pada majlis kereta tersebut di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam. 

Saga baharu hadir dengan lima warna menarik iaitu biru Marine, kelabu Space, merah Ruby, perak Armour dan putih Snow.

PROTON Saga baharu.

Dengan unit sedia untuk dihantar sejurus selepas pelancaran, pelanggan digalakkan membuat tempahan awal bagi menikmati tawaran masa terhad. 

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Proton terus memperkukuh tulang belakang industri automotif negara daripada platform kenderaan elektrik (EV) dan ujian rangkaian kuasa hinggalah ke pengeluaran komponen utama secara tempatan bagi meningkatkan daya saing negara.

“Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), pelaburan EV dan usaha penyetempatan Proton bukan sekadar strategi korporat, tetapi menjadi pemangkin kepada transformasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi dan digital yang dinamik. 

“Komitmen ini juga mendorong pelaburan yang menjana pekerjaan dan nilai ekonomi negara.

“Program penyetempatan Proton juga telah memperkenalkan 18 teknologi baharu dan memeterai usaha sama dalam bidang utama seperti pam bahan api, modul penukar gear elektronik dan sistem CVT, mengembangkan rangkaian vendor sambil meningkatkan penguasaan teknologi,” katanya 

Beliau berkata, pada tahun ini, Proton memperoleh komponen dan alat ganti bernilai RM3.2 bilion daripada vendor tempatan, menegaskan komitmennya terhadap rantaian bekalan yang dilokalkan serta berpotensi untuk terus berkembang dari segi skala dan nilai. 

“Peningkatan dua kali ganda dalam TIV dan perluasan sumber tempatan juga memastikan vendor Malaysia mendapat manfaat dan limpahan nilai ekonomi kekal dalam negara,” ujarnya. 

Menurut Zafrul, berdasarkan prestasi terkini, pasaran kenderaan penumpang Malaysia adalah yang terbesar dari segi volum di ASEAN. 

“Tahun lalu, jumlah volum industri (TIV) mencecah 816,747 unit, satu rekod baharu bagi negara, namun pada tahun ini walaupun terdapat sedikit pengurangan dalam volum, angka akhir tahun akan menghampiri 800,000 unit.

“Malah, dasar-dasar MITI seperti Dasar Automotif Nasional (NAP) dan NIMP 2030 telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pemain industri tempatan, termasuk Proton,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×