Mahu hak Sabah dikembalikan, pilih parti sehaluan dengan Pusat

Mahu hak Sabah dikembalikan, pilih parti sehaluan dengan Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Rakyat Sabah perlu menyedari bahawa jika hak negeri ini mahu terus dipelihara dan segala yang pernah dinafikan sebelum ini dikembalikan, keseimbangan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan mesti dijadikan asas utama.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang tampil pertama kali berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berkata, justeru itu formula terbaik ialah memastikan calon kerajaan negeri berada dalam kesepakatan dengan kerajaan Pusat

Katanya, golongan muda sememangnya mempunyai semangat tinggi, namun keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak boleh dipandu oleh sentimen semata-mata, sebaliknya perlu melihat kepada kepentingan Sabah secara keseluruhan.

“Saya tahu anak muda semangatnya kuat, tetapi saya tidak mahu mereka terbawa-bawa dengan emosi penolakan. Seperti saya sebut tadi, sekarang adalah masa untuk selesaikan masalah, untuk memperkukuhkan hubungan kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Ini bukan masa untuk berbalahan. Kalau berlaku perbalahan, ia tidak menguntungkan rakyat Sabah.

“Saya rasa formula terbaik ialah memastikan calon kerajaan negeri berada dalam kesepakatan dengan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai bersama Datuk Yamani Hafeez Musa (DYHM) dan Khairy Jamaluddin (KJ) di sini hari ini. 

Khairy kini berada di Sabah bagi membantu menggerakkan kempen rakan-rakan lamanya yang pernah berada dalam Pemuda UMNO yang kini bertanding PRN Sabah.

Selain Yamani Hafez yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sindumin, antaranya calon PH DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar; calon Barisan Nasional (BN) DUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin dan serta calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Tempasuk, Datuk Arsad Bistari.

Tambah Khairy, semangat Kerajaan Perpaduan jelas terpampang apabila GRS dan BN tidak meletakkan calon di kawasan tersebut, sebagai tanda sokongan padu kepada calon yang mewakili gabungan itu.

“Kalau kita lihat parti-parti utama dalam Kerajaan Perpaduan seperti GRS, BN dan PH, semuanya sepakat memberikan laluan dan sokongan kepada calon PH.

“Sebab itu saya berharap semua penyokong GRS dan BN turut memberikan kepercayaan serta undi kepada calon Harapan, Saudara Datuk Yamani Hafiz,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×