Nadma, MCMC tingkat amaran awal banjir guna teknologi CBS

Nadma, MCMC tingkat amaran awal banjir guna teknologi CBS

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang membangunkan sistem amaran awal banjir menggunakan teknologi sistem siaran sel (CBS) bagi menggantikan sistem amaran sedia ada berasaskan sistem pesanan ringkas (SMS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, teknologi CBS itu dinilai lebih cepat, tepat dan efektif dalam penyebaran amaran bencana, sekali gus membantu melindungi keselamatan nyawa dan harta benda terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, pelaksanaan CBS akan membolehkan Nadma meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat awal kepada komuniti berisiko manakala sistem amaran yang lebih cekap dan pantas dapat mengurangkan risiko korban serta kerosakan harta benda.

“Banjir merupakan ancaman utama yang memberi kesan besar terhadap keselamatan rakyat, kerugian harta benda dan kelangsungan ekonomi negara.

“Sistem amaran awal banjir yang menyeluruh amat penting untuk memastikan kesiapsiagaan komuniti serta keberkesanan tindak balas agensi kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN–Baling) mengenai keberkesanan kolaborasi Nadma dengan jabatan-jabatan kerajaan, kerajaan negeri dan agensi keselamatan dalam melaksanakan sistem amaran awal banjir secara menyeluruh.

Menurut Ahmad Zahid, kolaborasi Nadma bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kerajaan negeri, agensi teknikal dan agensi tindak balas memainkan peranan penting dalam ekosistem pengurusan bencana negara.

“METMalaysia menyediakan ramalan cuaca dan amaran hujan lebat manakala JPS membekalkan data hidrologi seperti paras air sungai melalui sistem telemetri dan siren di kawasan berisiko.

“Maklumat ini digabungkan di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) iaitu inisiatif utama JPS bagi memperkukuh sistem amaran awal banjir negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Nadma juga menyelaras data teknikal daripada agensi terlibat sebelum menyalurkan amaran kepada pihak berkepentingan serta komuniti terbabit.

“Penyampaian amaran awal banjir kepada masyarakat ketika ini dilakukan melalui pelbagai saluran termasuk aplikasi MyCuaca, media sosial dan SMS dengan kerjasama MCMC serta syarikat telekomunikasi.

“Semasa MTL 2024/2025, sebanyak 8.6 juta SMS amaran banjir telah dihantar kepada komuniti berisiko. Kerajaan turut memantau keberkesanan keseluruhan sistem amaran awal negara.

“NADMA, MetMalaysia dan JPS bekerjasama dengan Met Office United Kingdom melalui program penyelidikan Weather and Climate Science for Service Partnership (WCSSP) untuk meningkatkan keupayaan ramalan cuaca dan iklim termasuk pembangunan sistem amaran berasaskan impak serta penggunaan kod warna bagi kawasan berisiko banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×