LONDON: Kejutan besar melanda Kejuaraan Formula Satu (F1) 2025 apabila dua pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri dibatalkan penyertaan daripada Grand Prix Las Vegas, kelmarin selepas pasukan itu gagal melepasi pemeriksaan teknikal pasca perlumbaan.
Keputusan dramatik itu mengubah landskap perebutan gelaran dunia apabila juara perlumbaan itu, Max Verstappen kini hanya dipisahkan 24 mata di belakang pendahulu, Norris, selain menyaksikan pelumba Red Bull itu menyamai kutipan mata Piastri dengan hanya dua pusingan berbaki.
Sebelum hukuman diumumkan, Norris yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua meningkatkan kelebihannya kepada 30 mata ke atas Piastri, manakala rakan sepasukan dari Australia itu sekadar berada di kedudukan keempat.
Namun, situasi berubah sepenuhnya selepas Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan kedua-dua jentera McLaren mengalami kehausan ‘skid plank’ di bawah paras minimum 9 millimeter (mm) seperti ditetapkan peraturan.
Menurut FIA, kehausan pelapik bawah jentera Norris melebihi had sebanyak 0.12mm, manakala Piastri mencatat kehausan 0.26mm.
McLaren bagaimanapun mempertahankan diri dengan alasan keadaan ‘porpoising’ yang tidak dijangka serta kekangan sesi latihan akibat hujan di Las Vegas menyebabkan mereka gagal membuat pelarasan optimum.
Badan induk itu menegaskan tiada ruang pengecualian dalam peraturan mahupun keputusan terdahulu, sekali gus memaksa ‘steward’ menjatuhkan hukuman pembatalan penyertaan terhadap kedua-dua pemandu terbabit.
Hukuman tersebut menyaksikan kelebihan Norris kini tinggal 24 mata dengan 58 mata maksimum masih ditawarkan dalam baki dua perlumbaan di Grand Prix Qatar termasuk perlumbaan pecut, serta penutup musim ini di Abu Dhabi.
Norris mengakui hukuman penyingkiran daripada berlumba di GP Las Vegas amat mengecewakan buat dirinya dan pasukan.
“Kami terpaksa menguruskan banyak perkara pada penghujung perlumbaan, dan kini kami tahu ia berpunca daripada isu pada kereta kami. Malangnya, ia menyebabkan kami disingkirkan.
“Memang mengecewakan kehilangan begitu banyak mata. Sebagai satu pasukan, kami sentiasa mencari prestasi maksimum, dan jelas hari ini kami tidak berjaya mencapai keseimbangan itu,” kata Norris.
Piastri menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka, sambil menegaskan fokus dia kini beralih sepenuhnya ke Qatar.
McLaren menegaskan, mereka akan memperbaiki prestasi bagi memastikan peluang memburu gelaran dunia tidak terjejas pada dua perlumbaan terakhir musim ini. – AGENSI/UTUSAN










