PETALING JAYA: MISC Bhd. mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 60 peratus kepada RM541.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025, berbanding RM338.9 juta suku sebelumnya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat perkapalan minyak dan gas itu mencatat keuntungan daripada penjualan kapal sebanyak RM130.6 juta sepanjang suku tersebut.
Bagaimanapun, pendapatan suku dikaji menurun enam peratus kepada RM2.8 bilion berbanding RM2.9 bilion pada 2024, terutamanya disebabkan hari pendapatan yang lebih rendah.
Ini berikutan tamat kontrak, penjualan kapal dan kadar sewa yang lebih rendah bagi perniagaan utama kumpulan iaitu pengoperasian satu daripada flotila kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia.
Bagi sembilan bulan pertama 2025, syarikat melaporkan pertumbuhan untung bersih kepada RM1.71 bilion berbanding RM1.64 bilion untuk tempoh sama tahun sebelumnya dan hasil jatuh kepada RM8.34 bilion daripada RM9.93 bilion.
MISC berkata, kadar sewa kapal pengangkut gas asli cecair (LNGC) dijangka kekal lemah, terutamanya disebabkan kelebihan kapal yang berterusan hasil daripada penghantaran kapal baharu yang tinggi serta peningkatan bilangan kapal yang tamat tempoh sewa jangka panjang.
Katanya, dengan tahap inventori yang tinggi di Eropah dan permintaan yang perlahan di Asia, kadar sewa kapal dijangka terus berada di bawah tekanan menurun bagi baki tahun ini.
“Kelemahan pasaran kapal semasa juga menimbulkan risiko potensi pengurangan nilai aset yang boleh menjejaskan penilaian aset jangka panjang bagi segmen ini.
“Pasaran kapal jangka pendek LNGC yang lemah dijangka berlanjutan hingga tahun hadapan, terutamanya bagi LNGC enjin stim yang lebih lama,” katanya.
MISC mengumumkan dividen sebanyak lapan sen sesaham dan akan dibayar pada 18 Disember ini. – UTUSAN










